Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bermula 1 September 2026 pukul 2.00 petang, laporan kualiti udara di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dipertingkatkan dengan mengambil kira bahan partikulat PM2.5 ke dalam laporan Indeks Pencemaran Udara (PSI).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan PM2.5 sebagai bahan partikulat halus dan mempunyai ukuran diameter kurang daripada 2.5 mikrometer. PM2.5 boleh memasuki jauh ke dalam paru-paru dan aliran darah, dan boleh menyebabkan kesan buruk kepada sistem kardiovaskular (jantung) dan pernafasan.
JASTRe akan terus memantau kualiti udara di NBD dan memberikan maklumat terkini mengenai PSI sebanyak lima kali sehari pada pukul 7.00 pagi, 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang sepanjang tempoh jerebu.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) hari ini Rabu, 2 September 2026, pada pukul 4.00 petang adalah dicatatkan sepertimana dalam rajah yang disediakan. Daerah Brunei dan Muara mencatatkan PSI 139, manakala Daerah Tutong catatkan PSI 102. Bacaan PSI bagi kedua-dua daerah ini mencatatkan Kualiti Udara Tidak Sihat.
Manakala Daerah Belait catat PSI 81 dan Daerah Temburong mencatatkan PSI 100. Bacaan PSI bagi kedua-dua daerah ini mencatatkan Kualiti Udara Sederhana.
Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara Baik. Bacaan PSI di antara 51 dan 100 adalah Sederhana. Bacaan PSI di antara 101 dan 200 adalah Tidak Sihat. Bacaan PSI 201 dan 300 adalah Sangat Tidak Sihat. Bacaan PSI lebih daripada 300 adalah Merbahaya.
Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa apabila bacaan PSI mencapai tahap tidak sihat (dari 101 ke 200), orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah dan mengurangkan pendedahan yang tidak diperlukan kepada jerebu.
Kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas adalah dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah, manakala orang-orang yang menghidap penyakit jantung atau penyakit paru-paru dinasihatkan untuk menghindarkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah.
Mereka yang mengalami gejala yang berterusan atau semakin teruk seperti batuk, sesak nafas, sakit dada atau kesukaran bernafas adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan panduan yang lebih lanjut.
Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.
Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.
Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang ‘www.env.gov.bn’ dan Instagram (@jastre.bn), manakala maklumat dan nasihat kesihatan boleh diperoleh di laman sesawang ‘www.moh.gov.bn’ atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.