Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Laman Sesawang Jabatan Mufti Kerajaan dan Buku Terbaharu Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan berjudul 'Khutbah 'Idul-Adhha 1447H/2026M' bertempat di Ruang Legar, Darulifta Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran laman sesawang serta buku terbaharu tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof; Penolong Mufti (Ifta'), Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah; serta jemputan-jemputan khas dan pegawai-pegawai dan kakitangan JMK.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Istinbat, Awang Haji Jakaria bin Haji Hitam, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK, Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan khas daripada tetamu kehormat sebelum upacara pelancaran rasmi disempurnakan.
Yang Berhormat Mufti Kerajaan antara lain berkata dunia pada hari ini bergerak pantas didorong oleh gelombang revolusi digital yang bukan lagi satu pilihan, tetapi telah menjadi satu keperluan.
Bagi sebuah institusi keagamaan seperti Jabatan Mufti, jelasnya kerja menyampaikan panduan hukum, fatwa, dan kefahaman Islam yang sahih adalah satu kewajipan mendesak.
Tegasnya, peralihan JMK ke era digital melalui pelancaran laman sesawang yang dikemas kini merupakan satu langkah strategik dan inovatif.
Ia tegasnya lagi, melambangkan komitmen jabatan ini untuk menembusi sempadan konvensional, menjadikan maklumat keugamaan lebih dekat di hujung jari.
Kandungan yang baik tanpa saluran penyampaian yang berkesan, katanya akan sukar dicapai, manakala laman sesawang atau saluran yang terkini tanpa pengisian ilmu yang bermanfaat dan mantap pula tiada nilainya.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan laman sesawang JMK yang dikemas kini dan dilancarkan pada hari ini adalah satu langkah strategik dalam memperkasa penyampaian dan perkhidmatan maklumat serta kefahaman Islam secara digital.
Seiring perkembangan teknologi ini, Yang Berhormat menegaskan bahawa JMK tidak akan pernah menyisihkan tradisi ilmu tulisan.
"Sebagai seorang yang banyak meluangkan masa dalam bidang penulisan dan penyelidikan, peramba / saya melihat tugas menulis bukanlah sekadar satu pekerjaan rutin. Menulis buku-buku ugama atau risalah ilmiah adalah satu tanggungjawab besar," tegasnya.
Melalui tulisan tambahnya, kita adalah menyampaikan fahaman, menjawab persoalan masyarakat, dan yang paling penting, kita meninggalkan (menitipkan) bahan rujukan yang jujur dan sahih untuk generasi demi generasi.
Menurut Yang Berhormat, buku yang baik tidak terhasil secara tergesa-gesa, tetapi ia memerlukan kajian yang mendalam, semakan fakta yang teliti, dan penyampaian bahasa yang mudah.
"Pelancaran Buku Terbitan Terbaharu pada hari ini adalah bukti komitmen berterusan Jabatan Mufti Kerajaan dalam mendidik masyarakat menerusi pembacaan. Peramba / Saya berharap buku ini tidak sekadar disimpan sebagai koleksi atau perhiasan rak buku, tetapi dibaca, dibincangkan, dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para akademik, pelajar, mahupun masyarakat umum," tegasnya.
Menyentuh mengenai buku 'Khutbah 'Idul-Adhha 1447H/2026M', Yang Berhormat menjelaskan isi buku tersebut diolah untuk menunjukkan Nabi Ibrahim Alaihissalam bukan sahaja Nabi dan Rasul, malah arkitek sajagat membangun dunia dengan doa Baginda sehingga seluruh umat Islam pada zaman Baginda sampai ke hari kiamat dapat menikmati kemakmuran melalui kesuburan bumi Mekah.
Allah Subhanahu Wata'ala, katanya menyuruh kita menyebut-nyebut nikmatNya untuk disyukur, sebagaimana firmanNya di dalam Surah Ad-Duha ayat 11 tafsirnya, "Terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau menyebut-nyebutnya sebagai tanda syukur".
Maka di samping menyebut nikmat subur dan aman negeri Mekah, Yang Berhormat juga tersuntik untuk menyebut nikmat Allah kepada Brunei.
Katanya Brunei adalah betul-betul mirip seperti Mekah, dari segi ia juga turut kita bangun dengan doa, dengan zikir dan dengan Al-Quran.
"Memang Brunei adalah benar-benar tidak pernah sunyi dari doa, dari zikir dan dari Al-Quran," tegas Yang Berhormat.
Kerana itu, tegasnya Brunei pun kita dapati sentiasa dalam selamat. Apabila pandemik COVID-19 menyerang dunia, Brunei tidak panik, sebaliknya kita cepat-cepat bertindak mengadakan rancangan mendepani wabak, iaitu dengan doa, dengan zikir dan dengan Al-Quran.
Selain kita membacanya di masjid-masjid dan di rumah-rumah, ia juga kita jadikan siaran tetap di radio dan televisyen. Malah setelah COVID-19 berakhir pada 2023, rancangan ini masih sahaja kekal berjalan terus sampai ke hari ini.
Pelancaran laman sesawang baharu ini diharapkan dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat awam untuk mengakses maklumat keagamaan dan fatwa secara digital dengan lebih meluas.
Manakala, buku terbaharu yang dilancarkan, 'Khutbah 'Idul-Adhha 1447H/2026M', mengupas secara mendalam tentang hakikat ibadat korban yang bukan sekadar penyembelihan haiwan dan pengagihan daging kepada mereka yang berhak, malah tersimpan daripadanya kisah agung yang penuh pengajaran mengenai keimanan, kesabaran, serta penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.
Majlis tersebut turut menyaksikan Yang Berhormat Mufti Kerajaan menyempurnakan penandatanganan buku terbaharu terbitan jabatan dan dilanjutkan dengan penyampaian Waqaf Buku kepada para penerima.
Bagi memohon keberkatan, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang disampaikan oleh Pegawai Istinbat, Awang Haji Jakaria bin Haji Hitam.