PeKA adakan Majlis Berdikir

14 Sep 2026 - 5:23am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Awang Haji Zaini Awang Ajong

KAMPUNG KULAPIS, Ahad, 13 September. - Ahli-ahli Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah (PeKA) Kampung Kulapis pagi tadi mengadakan Majlis Berdikir bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid PeKA telah menghimpunkan Ahli-ahli Muslimah masjid daripada 11 buah masjid selaku jemputan termasuk Ahli-ahli Muslimah Masjid PeKA.

Ahli-ahli Muslimah masjid jemputan itu terdiri dari Masjid Az-Zakireen di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang; Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar; Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas; Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut; Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Kampung Mulaut; Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Kampung Rimba; Masjid Kampung Bengkurong; dan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis / Madang.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyertai keindahan majlis berkenaan ialah Datin Hajah Nahriah binti Awang Haji Hasbi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

Seterusnya, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Ketua Muslimah Masjid PeKA, Dayang Hajah Norainah binti Haji Kahar yang antaranya merakamkan luahan kesyukuran dengan majlis perhimpunan bagi sama-sama memperingati kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membawa tema majlis iaitu ‘Eratkan Silaturahim, Kukuhkan Ukhuwah dan Teladani Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’.

Beliau antaranya turut menambah dengan bersama-sama berhimpun di majlis penuh berkah tersebut, ia turut bertujuan bagi sama-sama mengungkapkan jiwa kesyukuran dan penghargaan kepada jasa para pembimbing kelas Muslimah masjid-masjid sekali gus mengeratkan lagi silaturahim sesama Muslimah masjid.

Majlis diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan seterusnya Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebelum diikuti dengan Majlis Berdikir dengan pelbagai alunan dikir, selawat, nasyid dan tausyeh yang dibawakan secara bergilir-gilir oleh setiap Ahli-ahli Muslimah masjid yang hadir. Bacaan puisi turut disampaikan oleh Dayang Hajah Nadirah binti Haji Lahit.

Majlis diakhiri dengan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Guru Pembimbing dan Penyelia Hal Ehwal Muslimah Masjid PeKA, Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Jumaat.

Selain itu, majlis turut menyaksikan sesi penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis yang disampaikan oleh Ketua Muslimah Masjid PeKA dan sesi bergambar ramai.