Pasukan ISB tewaskan CHMS BSB

17 Sep 2026 - 5:51am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

GADONG, Rabu, 16 September. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan Perlawanan Separuh Akhir Bola Keranjang antara Pasukan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan Pasukan Chung Hwa Middle School (CHMS) Bandar Seri Begawan bagi Kategori Perempuan Bawah 18 tahun (B-18) pada Kejohanan Bola Keranjang antara Sekolah AEWON PPE Ke-4 2026, hari ini.

Menyertai kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang mewakili Pasukan ISB.Dalam perlawanan tersebut, Pasukan ISB berjaya menewaskan Pasukan CHMS BSB dengan pungutan mata 62 – 32.

 

Kejohanan yang bermula pada 31 Ogos 2026 hingga 20 September 2026 ini merupakan anjuran BBA dengan sokongan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Pada tahun ini, sebanyak 16 buah sekolah akan berentap bagi merebut gelaran juara dalam kejohanan berkenaan.