Pastikan pembelajaran diteruskan ketika jerebu

8 Sep 2026 - 6:37am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 September. - Keadaan berjerebu ketika ini tidak menghalang Sekolah Menengah Rimba (SMR) daripada memastikan pembelajaran para pelajar terus berjalan dengan teratur melalui Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home Based Learning-HBL).

Guru Kanan Akademik I, SMR, Awang Amirudin bin Haji Damit berkata, sejak penutupan sekolah pada minggu lepas, para pelajar mengikuti HBL dengan menggunakan pelbagai kaedah dan aplikasi, antaranya WhatsApp, Telegram, Zoom dan Microsoft Teams.

Menurutnya lagi, pada hari ini HBL masih diteruskan bagi semua pelajar, kecuali pelajar Tahun 11 yang mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah. Seperti lazimnya, sebelum sesi pembelajaran bermula, para pelajar Tahun 11 akan menunaikan Solat Hajat dan Solat Dhuha bagi memohon keberkatan serta kelancaran dalam menghadapi pembelajaran dan peperiksaan.

Dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para pelajar serta guru tambahnya, pihak sekolah turut mengambil beberapa langkah bersesuaian dengan keadaan berjerebu, termasuk menempatkan para pelajar di bilik-bilik yang mempunyai penyaman udara seperti makmal sains, perpustakaan dan bilik-bilik khas yang lain, selain memakai sungkup muka ketika berada di luar bilik darjah.

Awang Amirudin seterusnya menjelaskan, pihak sekolah sentiasa memastikan persediaan para pelajar, khususnya pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan GCE ‘O’ Level, tidak terjejas walaupun berlaku perubahan tidak diduga dalam kaedah pembelajaran.

“Guru-guru memastikan sesi pembelajaran dan ulang kaji diteruskan mengikut perancangan, di samping menyediakan latihan, nota dan bimbingan yang mencukupi, terutama bagi topik-topik penting peperiksaan.

“Bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik serta interaktif turut disediakan bagi membantu para pelajar memahami isi pembelajaran dengan lebih jelas dan teratur.

“Guru-guru juga sentiasa memberikan nasihat dan kata-kata semangat agar para pelajar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus bersemangat dan berusaha bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan GCE ‘O’ Level pada tahun ini,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, ibu bapa dan penjaga turut memainkan peranan penting dalam mendukung dan mendorong anak-anak untuk terus rajin berusaha, khususnya ketika pembelajaran dilaksanakan dari rumah.

Awang Amirudin turut menyarankan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pembelajaran anak-anak di rumah dengan menyediakan persekitaran yang selesa serta memastikan mereka mengikuti sesi HBL yang telah ditetapkan.

Kerjasama yang baik antara guru, ibu bapa dan penjaga jelasnya lagi, akan membantu para pelajar menjadi lebih yakin, berdisiplin dan bersedia menghadapi Peperiksaan GCE ‘O’ Level walaupun berhadapan dengan perubahan dalam kaedah pembelajaran.

Sementara itu Dayang Nur Siti Khadijah binti Norazlan, pelajar Tahun 11, berkata beliau membuat persediaan menghadapi peperiksaan dengan memperbanyakkan latihan praktikal, khususnya bagi mata pelajaran seperti Matematik, selain menjawab kertas soalan tahun-tahun lalu yang diberikan oleh guru.

Beliau turut menggunakan peta minda bagi memudahkan pemahaman dan mengingati topik-topik penting, di samping memastikan waktu tidur, pemakanan dan minuman yang mencukupi supaya tubuh badan dan fikiran sentiasa bersedia untuk belajar.

Manakala bagi Dayang Nurul Aleesya Amani binti Abdullah Mohammad Yusman pula menjelaskan, pelaksanaan HBL sedikit mencabar dari segi mendapatkan bimbingan secara langsung daripada guru.

Bagaimanapun, beliau memanfaatkan kertas soalan tahun-tahun lalu yang diberikan oleh guru bagi membiasakan diri dengan format soalan, mengenal pasti bahagian yang masih lemah serta mengukuhkan pemahaman.

Dalam pada itu, para pelajar dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar, memakai sungkup muka apabila perlu, minum air yang mencukupi dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

Para pelajar juga hendaklah segera memaklumkan kepada guru atau ibu bapa sekiranya berasa kurang sihat bagi memastikan kesihatan sentiasa terjaga sepanjang keadaan berjerebu.