Operasi Usai memastikan Akta Pekerjaan dipatuhi

18 Okt 2026 - 6:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan baru-baru ini menjalankan Operasi Usai 239/2026 di kawasan Jalan Pemancha, Bandar Seri Begawan, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

Pemeriksaan ke atas kegiatan pembaikan peralatan komunikasi telah mendapati sebanyak lima kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap seorang pekerja asing iaitu Bab 63 Majikan tidak memberikan cuti rehat; Bab 64 Bekerja pada hari rehat dan bekerja pada hari kelepasan awam tidak dibayar gaji menurut undang-undang; Bab 70 Majikan gagal memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan; Bab 71 Majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan Bab 91 Gagal memberikan cuti bersalin mengikut peraturan yang telah ditetapkan di mana pekerja wanita yang sewaktu di dalam cuti bersalin tidak dibayar gaji selama tempoh tersebut.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu atau mana-mana hari di minggu tersebut, bekerja pada hari rehat dan pada hari kelepasan awam yang diwartakan hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain, memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti tahunan bergaji selepas tiga bulan bekerja dan memberikan cuti bersalin sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan di talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).