Program Artisan Skills Bedak Lulut perkasa kemahiran, potensi keusahawanan

18 Okt 2026 - 6:50am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Ihsan Pusat Pembangunan Belia

 

TANAH JAMBU, Sabtu, 17 Oktober. - Sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai teknik penyediaan dan penghasilan bedak lulut yang berkualiti, di samping meningkatkan pengetahuan tentang manfaat serta potensi produk tersebut sebagai peluang keusahawanan, Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Komuniti Juruhias Brunei baru-baru ini telah melaksanakan Program Artisan Skills Bedak Lulut bertempat di PPB, Jalan Utama Tanah Jambu, Kampung Tanah Jambu.

Program yang disertai oleh 15 peserta itu dikendalikan oleh tiga orang tenaga pengajar daripada Komuniti Juruhias Brunei yang terdiri daripada Awang Haji Masfourteen bin Awang Haji Mohd Yusof, Dayang Zaiton binti Haji Jamil dan Dayang Hajah Masniah binti Haji Pungut.

Para tenaga pengajar telah memberikan penerangan dan demonstrasi serta menyediakan peluang para peserta untuk melakukan secara praktikal sesi pembuatan bedak lulut.

Program berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal ini, program ini turut menggalakkan kreativiti, pemeliharaan warisan budaya serta pembangunan kemahiran yang boleh menjana pendapatan dan menyokong pembangunan sosioekonomi para peserta.