NBD terima persinggahan kapal persiaran MV Dream

18 Okt 2026 - 6:46am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini mengalu-alukan ketibaan kapal persiaran MV Dream yang membawa seramai 1,926 orang penumpang antarabangsa dan 505 orang anak kapal.

Kapal berkenaan tiba di negara ini dari Kota Kinabalu, Malaysia, iaitu pelabuhan persinggahan sebelumnya, sebelum meneruskan pelayaran serantaunya ke Republik Sosialis Viet Nam.

Ketibaan ini sekali lagi menyerlahkan daya tarikan NBD yang semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran, khususnya dalam kalangan pelancong dari pasaran Republik Rakyat China, susulan ketibaan kapal persiaran Adora Magic City baru-baru ini.

Setibanya di negara ini, para penumpang disambut mesra dengan persembahan muzik dan tarian tradisional gulintangan, yang memberikan gambaran tentang warisan budaya NBD yang kaya serta layanan mesra yang menjadi kebanggaan negara.

Sepanjang persinggahan kapal berkenaan, para penumpang berpeluang menikmati suasana negara yang aman dan damai, mengenali budaya tempatan serta merasai keramahan penduduk melalui lawatan ke beberapa destinasi menarik, termasuk Istana Nurul Iman, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampong Ayer dan Taman Permainan Jerudong Park, di samping tempat-tempat menarik yang lain.

Para pengunjung yang menaiki kapal persiaran tersebut turut berkongsi pengalaman positif sepanjang berada di NBD.

Liu Ni, seorang penumpang dari Republik Rakyat China, menyifatkan lawatannya ke Brunei sebagai satu pengalaman yang menyenangkan. Beliau juga berkesempatan melawat Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan menggambarkan suasana di sekitarnya sebagai tenang dan damai, di samping melahirkan rasa kagum terhadap pengalaman tersebut.

Hui Jian Zhang, yang menyertai pakej lawatan sepanjang kunjungannya, turut memberikan maklum balas positif mengenai keindahan persekitaran dan tempat-tempat menarik di Brunei. Beliau khususnya menikmati aktiviti mengambil gambar di Kampong Ayer serta menghargai kesopanan dan keramahan penduduk tempatan.

Ketibaan MV Dream merupakan persinggahan kapal persiaran yang ke-20 di NBD pada tahun ini.

Jabatan Kemajuan Pelancongan menjangkakan ketibaan lebih 10 buah kapal persiaran antarabangsa tambahan sebelum penghujung tahun 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan NBD dalam sektor pelancongan kapal persiaran serantau.

MV Dream juga dijadualkan untuk membuat satu lagi persinggahan ke NBD pada 23 Oktober 2026, yang akan memberikan peluang kepada penumpang yang kembali berkunjung mahupun penumpang baharu untuk meneroka dengan lebih lanjut keindahan dan keunikan negara ini.