Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BELAIT, Khamis, 17 September. - Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah melaksanakan dua operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Kakas 2026 dan satu operasi penguatkuasaan undang-undang bersama Jabatan Tenaga Manusia Dan Pekerjaan, Kuala Belait di bawah Operasi Bersepadu Kakas.
Operasi Kakas 99 / 2026 menyasarkan ke tiga lokasi berasingan di Mukim Liang dan hasil daripada operasi yang dijalankan, 23 warga asing telah diperiksa dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait kerana gagal untuk mengemukakan dokumen yang sah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c), Akta Imigresen, Penggal 17.
Sementara, Operasi Kakas 101 / 2026 menyasarkan ke Kawasan sekitar di Mukim Belait dan Pemeriksaan ke atas seorang warga asing yang diperiksa telah membawa kepada penahanan individu tersebut ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Bagi Operasi Kakas 102 JIPK dan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan menyasarkan ke Kawasan sekitar di Mukim Belait dan hasil daripada operasi pemeriksaan sepadu yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait, JIPK telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 12 warga asing dan tiga daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi siasatan lanjut.
Manakala tiga warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.