Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Rabu, 26 Ogos. - Kementerian Kesihatan melalui Brunei Centre for Disease Control and Prevention (Brunei CDC), Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar menganjurkan Bengkel National One Health Joint Plan of Action (NOHJPA) yang berlangsung selama tiga hari, dari 26 hingga 28 Ogos 2026, di EVYD Tech Campus, di sini.
Bengkel berkenaan diadakan dengan kerjasama organisasi Quadripartite yang terdiri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), World Organisation for Animal Health (WOAH) dan United Nations Environment Programme (UNEP).
Majlis pembukaan diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Awang Haji Azhan bin Haji Abd. Karim, mewakili Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Pengarah Kemudahan Perdagangan dan Akses Pasaran, Awang Haji Muhammad Safwan bin Abdullah Bibi, mewakili Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Hajah Rafidah yang menekankan bahawa pendekatan One Health bermula daripada satu hakikat bahawa kesihatan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar mempunyai hubungan yang rapat dan saling bergantung.
Menurutnya lagi, penyakit berjangkit yang muncul dan muncul semula, kerintangan antimikrob serta perubahan alam sekitar tidak dapat ditangani oleh mana-mana sektor secara bersendirian. Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), pelaksanaan One Health bukan sekadar menangani penyakit zoonotik, malah membina sistem yang lebih bersepadu dan berdaya tahan bagi membolehkan negara mencegah, membuat persediaan, mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman kesihatan merentasi sektor, sekali gus memperkukuh keselamatan kesihatan negara dan menyumbang kepada keselamatan serantau.
Beliau turut menyentuh mengenai asas penting yang telah dibangunkan dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun lalu, termasuk National Bridging Workshop, penubuhan One Health Core Group dan One Health Collaborative Partners, Bengkel One Health Zoonotic Disease Prioritization serta Joint National Taskforce for Zoonotic Diseases yang kini sedang dipertimbangkan untuk dinaik taraf menjadi National One Health Committee.
Tambahnya lagi, usaha-usaha berkenaan telah memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai kekuatan, jurang dan peluang yang ada, manakala langkah seterusnya adalah menterjemahkan pemahaman berkenaan kepada tindakan kebangsaan melalui NOHJPA.
Dr. Hajah Rafidah seterusnya menjelaskan bahawa Quadripartite One Health Joint Plan of Action menyediakan kerangka global yang berguna, manakala di peringkat serantau, ASEAN One Health Joint Plan of Action menetapkan keutamaan bersama yang telah dipersetujui oleh NBD bersama Negara-negara Anggota ASEAN.
Justeru katanya, NOHJPA kebangsaan akan diselaraskan dengan kedua-dua kerangka berkenaan agar perkara yang dipersetujui dapat menyumbang secara langsung kepada kesiapsiagaan serantau dan tanggungjawab keselamatan kesihatan yang lebih luas. Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada sejauh mana kerangka berkenaan dapat disesuaikan dengan konteks, keutamaan dan keupayaan negara.
Bengkel berkenaan menghimpunkan kira-kira 70 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian dan agensi kerajaan, institusi akademik serta organisasi rakan antarabangsa, termasuk pakar teknikal daripada organisasi Quadripartite.
Para peserta mewakili sektor-sektor utama yang terlibat dalam memperkukuh pendekatan One Health yang mengiktiraf hubungan saling berkait antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Sepanjang bengkel, para peserta akan meneliti mengenai visi, misi dan tonggak strategik One Health negara, di samping meneliti keutamaan strategik, memperhalusi intervensi yang dicadangkan serta membangunkan pencapaian pelaksanaan merentasi enam One Health Action Tracks.
Draf NOHJPA yang disahkan kelak dijangka menggariskan langkah NBD dalam memperkukuh keupayaan untuk mencegah, mengesan, membuat persediaan dan bertindak balas terhadap penyakit zoonotik serta ancaman One Health lain yang berlaku pada antara aspek kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Setelah dimuktamadkan, NOHJPA akan menjadi rangka kerja strategik kebangsaan bagi memperkukuh kerjasama dan tindakan bersepadu antara sektor kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Pembangunan NOHJPA berkenaan adalah susulan daripada Bengkel One Health Zoonotic Disease Prioritization yang diadakan pada Februari 2026, serta meneruskan beberapa inisiatif One Health kebangsaan yang dilaksanakan sejak 2025, termasuk National Bridging Workshop, pemetaan pihak berkepentingan dan analisis situasi.
Inisiatif-inisiatif berkenaan telah membantu mengenal pasti keutamaan negara serta memperkukuh penyelarasan multisektor dalam menangani cabaran berkaitan One Health.
Pada peringkat antarabangsa dan serantau, NOHJPA NBD akan diselaraskan dengan Quadripartite One Health Joint Plan of Action dan ASEAN One Health Joint Plan of Action bagi memastikan usaha di peringkat kebangsaan menyumbang kepada kesiapsiagaan bersama serta tindakan One Health yang diselaraskan di seluruh Negara-negara Anggota ASEAN.
Brunei CDC menganjurkan bengkel berkenaan dengan sokongan Joint National Taskforce for Zoonotic Diseases.
Kementerian Kesihatan turut merakamkan penghargaan atas kepakaran teknikal yang diberikan oleh WHO, FAO, WOAH dan UNEP, serta sokongan daripada Global Affairs Canada melalui ASEAN Mitigation of Biological Threats Programme.
Bengkel berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan NBD untuk menghadapi ancaman One Health semasa dan yang baharu muncul.