Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 September. - BIBD At-Tamwil telah menghimpunkan 160 orang kakitangan dalam edisi sulung Sesi Townhall yang bertemakan ‘Amanah dan Perpaduan’, sekali gus memperkukuh komitmennya dalam memupuk budaya kukuh berasaskan kepercayaan, akauntabiliti, kerjasama dan kecemerlangan perkhidmatan.
Sesi tersebut diadakan di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, petang tadi.
Hadir ialah Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan ucaptama pada sesi Townhall tersebut.
Sesi Townhall tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada pertumbuhan dan pembangunan berterusan, BIBD At-Tamwil. Sesi Townhall itu juga menjadi platform bagi para kakitangan untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kerjasama, menyelaraskan keutamaan bersama serta menegaskan semula nilai-nilai yang menjadi asas kepada kejayaan jangka panjang organisasi.
Pada masa yang sama, sesi tersebut turut menekankan kepentingan untuk terus bersatu padu, saling menyokong satu sama lain dan bergerak maju bersama persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah serta jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.
Dalam ucaptamanya, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD menggariskan bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam mendukung aspirasi BIBD.
Beliau berkata keselarasan organisasi bermaksud memahami hala tuju yang ingin dicapai serta bagaimana kita dapat memberikan sumbangan yang bermakna ke arah tersebut.
Awang Haji Mohammad Yusri menyatakan, seiring dengan perubahan jangkaan, kita hendaklah terus bersikap adaptif, namun pada masa yang sama kekal berpegang teguh kepada nilai-nilai yang menjadi identiti kita.
“Kerjasama yang erat dan komitmen bersama dalam memberikan perkhidmatan kepada para pelanggan akan terus menjadi asas penting kepada kemajuan kita,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pemimpin dan warga organisasi dalam mewujudkan peluang untuk berkongsi perspektif, mengenal pasti penyelesaian serta mencapai hasil yang lebih baik untuk para pelanggan dan pihak berkepentingan.
“InsyaaAllah, apabila niat kita dipandu oleh usaha untuk memberikan yang terbaik kepada ummah dan kepentingan bersama, usaha kita akan mendapat Barakah dan Rahmah daripada Allah Ta'ala, sekali gus membawa manfaat yang lebih besar serta nilai yang berkekalan kepada mereka yang kita layani,” ujar beliau.
Sementara dalam ucapan pembukaan, Pemangku Pengarah Urusan Interim dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi BIBD At-Tamwil, Awang Haji Shamri bin Haji Mahali, menekankan kepentingan amanah dan perpaduan dalam memperkukuh budaya organisasi serta membimbing pembangunan berterusan.
Beliau menegaskan keperluan para kakitangan untuk terus kekal sejajar dengan nilai dan aspirasi organisasi di samping memupuk budaya yang berteraskan kepercayaan, akauntabiliti dan kerjasama.
Seterusnya, beliau juga turut menggariskan kepentingan dalam menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut dalam tindakan seharian, dengan mengiktiraf bahawa penglibatan kakitangan, kerja berpasukan yang kukuh dan minda yang berorientasikan pelanngan merupakan asas penting dalam mencapai kejayaan yang mampan serta hasil yang bermakna untuk para pelanggan dan pihak yang berkepentingan.
Awang Haji Shamri juga menyeru para kakitangan agar terus menanai prinsip ‘Amanah dan Perpaduan’ dalam melaksanakan tanggungjawab seharian, di samping menekankan pentingnya memelihara kepercayaan yang diberikan kepada organisasi serta terus komited dalam menghasilkan impak yang bermakna kepada para pelanggan, pihak berkepentingan dan masyarakat secara keseluruhannya.
Townhall tersebut turut menampilkan pembentangan R.I.S.E. yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kualiti Perkhidmatan, BIBD, Dayang Hajah Rohani binti Haji Salleh, yang memberi tumpuan kepada kecemerlangan perkhidmatan serta kepentingan untuk terus meningkatkan pengalaman para pelanggan.
Sesi berkenaan menekankan bahawa perkhidmatan yang cemerlang bukan semata-mata ditentukan oleh proses dan piawaian, malah turut bergantung kepada tahap profesionalisme, empati, kepekaan dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam setiap interaksi bersama pelanggan.
Para pegawai dan kakitangan turut diingatkan bahawa setiap interaksi menyumbang kepada pembinaan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan pelanggan, sekali gus memperkukuh komitmen BIBD At-Tamwil dalam menyediakan pengalaman perkhidmatan yang konsisten, bertanggungjawab dan berorientasikan pelanggan.
Townhall tersebut turut menjadi peringatan bahawa meskipun strategi, struktur dan keutamaan perniagaan akan terus berkembang dan berubah, kejayaan pada akhirnya akan ditentukan oleh kepercayaan yang diperoleh, hubungan yang diperkukuhkan serta pengalaman yang diwujudkan untuk para pelanggan, masyarakat dan pihak berkepentingan.
Melalui prinsip ‘Amanah dan Perpaduan’, BIBD At-Tamwil kekal komited dalam memperkukuh kepercayaan, memperkasa warga kerjanya serta memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelanggan, di samping terus menyokong pertumbuhan yang mampan dan aspirasi Negara Brunei Darussalam secara lebih meluas.