BERAKAS, Rabu, 9 September. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan pada petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi.
Kunjungan hormat berkenaan diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.
Turut serta dalam kunjungan hormat berkenaan, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha; Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Yang Berusaha Tuan Haji Mual bin Suaud; Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak, Yang Berusaha Haji Mohamad Shalahudin bin Marzuki; dan Urus Setia, Yang Berusaha Dayang Nur’ Maisarrah binti Abang Abdul Razak.
Kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk memupuk hubungan dua hala yang lebih erat antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Negeri Sarawak dalam bidang hal ehwal ugama. Selain itu, membuka ruang untuk bertukar pandangan mengenai inisiatif yang memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam sambil menzahirkan semangat persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam suasana mesra.
Hadir sama pada majlis kunjungan hormat berkenaan, Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU, Awang Haji Aziman bin Awang Haji Zaman; dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim.