NBD perkukuh daya tahan siber hadapi ancaman semakin canggih

16 Sep 2026 - 8:11am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 15 September. -  Daya tahan siber perlu dibina sejak peringkat reka bentuk dan bukan hanya selepas sesuatu insiden berlaku.

Keselamatan siber bukan lagi sekadar pertimbangan teknikal, sebaliknya menjadi asas kepada operasi kerajaan, fungsi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan penting kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, dan Menteri Yang Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan bagi Persidangan Keselamatan Siber Brunei 2026 (CySec2026) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi berkata, kita telah melangkaui tahap membangunkan kerangka semata-mata. Kini, kita berada pada tahap untuk melaksanakannya, memperkukuhnya dan menjadikannya sebahagian daripada amalan, serta yang paling penting, bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya.

Menurut Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam (NBD) kini berada pada tahap penting dalam perjalanan keselamatan sibernya selepas membangunkan asas seni bina keselamatan siber negara secara berperingkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata Yang Berhormat, Perintah Keselamatan Siber yang diluluskan pada 2023 dan kemudiannya dikuatkuasakan sebagai Akta Keselamatan Siber pada 2024, bersama Strategi Keselamatan Siber NBD 2023-2027, terus menjadi panduan dalam menentukan hala tuju negara.

Penguatkuasaan Perintah Perlindungan Data Peribadi pula menyediakan panduan yang lebih jelas khususnya dalam aspek teknologi operasi dan keselamatan awan.

Yang Berhormat berkata perkara itu amat penting khususnya bagi Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII) yang merangkumi 10 sektor perkhidmatan penting iaitu Tenaga, Infokomunikasi, Penjagaan Kesihatan, Perbankan dan Kewangan, Pertahanan dan Keselamatan, Perkhidmatan Kecemasan, Penerbangan, Pentadbiran Kerajaan, Media serta Air.

Jelas Yang Berhormat, pemilik dan pengendali CII mempunyai tanggungjawab memahami risiko keselamatan siber, melindungi sistem serta melaporkan dan bertindak balas secara berkesan apabila berlaku insiden keselamatan siber.

"Namun, penetapan semata-mata tidak menjamin daya tahan. Ukuran sebenar kemajuan kita haruslah berdasarkan sama ada penetapan tersebut membawa kepada sistem yang lebih kukuh, tahap kesiapsiagaan yang lebih baik serta penambahbaikan yang dapat diukur dalam pelaksanaan sebenar," ujar Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat berkata landskap ancaman siber turut berkembang seiring dengan kematangan kerangka kerja kebangsaan, dengan kepantasan, kecanggihan dan kerumitan ancaman semakin meningkat, manakala Kecerdasan Buatan (AI) mempercepatkan perubahan tersebut.

Tambah Yang Berhormat, AI kini berkembang daripada sekadar alat yang digunakan manusia kepada sistem berasaskan ejen dan semakin autonomi yang mampu beroperasi serta menyesuaikan diri pada kelajuan mesin.

Perkembangan itu, jelas Yang Berhormat, turut menurunkan halangan untuk melancarkan serangan siber yang canggih, selain meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Lima ancaman siber yang perlu diberi perhatian khusus ialah pancingan data, penipuan dan penyamaran yang dibantu AI; perisian tebusan dan pemerasan siber; kebocoran data dan kecurian kelayakan; pencerobohan melalui rantaian bekalan dan pihak ketiga; serta serangan terhadap Teknologi Operasi (OT) dan CII.

Yang Berhormat berkata, perkara berkenaan memberi implikasi besar terhadap sistem yang menyokong bekalan elektrik, air, tenaga dan rangkaian penerbangan, yang sebelum ini banyak direka bentuk dengan mengutamakan kebolehpercayaan dan kesinambungan operasi.

Seiring usaha industri memodenkan, mendigitalkan dan mengautomasikan operasi, semakin banyak sistem berkenaan saling berhubung yang mewujudkan peluang serta potensi kerentanan baharu.

"Bagi NBD, ini bukan sekadar satu senario hipotetikal. Serangan yang berjaya terhadap infrastruktur kritikal kita akan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan harian yang menjadi kebergantungan rakyat, perniagaan dan ekonomi negara," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan menangani hakisan kepercayaan digital susulan peningkatan kecanggihan penipuan, fraud, penyamaran dan penyebaran maklumat palsu yang dibantu AI.

Menurut Yang Berhormat, ancaman berkenaan bukan lagi sekadar gangguan dalam talian kerana ia boleh menyebabkan kerugian kewangan, menjejaskan keyakinan terhadap perkhidmatan digital dan pada skala lebih besar menjadi isu yang membimbangkan negara.

Dalam usaha memperkukuh daya tahan, Cyber Security Brunei (CSB) kini sedang memperkukuh panduan yang disediakan untuk kerajaan, pemilik CII dan industri melalui pengemaskinian Kod Amalan bagi CII serta pengenalan Garis Panduan Dasar Keselamatan AI dan Garis Panduan Dasar Secure by Design.

Yang Berhormat menambah, Garis Panduan Dasar Secure by Design memastikan aspek keselamatan diberi perhatian sepanjang keseluruhan kitar hayat sistem, bermula daripada reka bentuk dan perolehan, pembangunan dan pelaksanaan sehingga pengoperasian.

Yang Berhormat berkata, inovasi AI perlu digalakkan, namun akses yang lebih luas kepada pembangunan teknologi mesti disertai tanggungjawab yang lebih besar.

Pada masa sama, Yang Berhormat turut menggalakkan CSB untuk terus membangunkan panduan yang lebih khusus mengikut sektor serta meneruskan usaha menyelaraskan keperluan pelaporan insiden supaya tindakan menjadi lebih jelas, konsisten dan terselaras merentasi semua sektor.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa daya tahan siber negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan dan CII, malah melibatkan perniagaan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menjadi tunjang ekonomi digital negara.

Sehubungan itu, Yang Berhormat mengalu-alukan pengenalan TERAS Siber oleh CSB iaitu skim pensijilan asas keselamatan siber kebangsaan bagi organisasi daripada pelbagai saiz.

Lima tonggak TERAS Siber ialah Trusted Access, Endpoint Defence, Resilient Data, Active Response dan Secure Culture yang menterjemahkan keselamatan siber kepada langkah praktikal dan mudah difahami untuk dilaksanakan organisasi.

Dalam aspek pembangunan ekosistem digital, Yang Berhormat berkata, kepercayaan turut penting dalam merealisasikan aspirasi Digital Brunei 2030, termasuk melalui pelaksanaan Brunei ID dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kata Yang Berhormat, identiti digital berautoriti itu menjadi asas kepada akses perkhidmatan yang lebih selamat dan mudah bagi rakyat serta perniagaan.

Selain teknologi dan dasar, Yang Berhormat berkata, pembangunan bakat keselamatan siber juga penting bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi keperluan nasional termasuk 10 sektor perkhidmatan penting.

Yang Berhormat berkata, CSB sedang membangunkan Kerangka Kompetensi Keselamatan Siber Kebangsaan Brunei (BNCCF) berasaskan Kerangka NIST NICE yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dijangka siap pada suku pertama 2027.

Menurut Yang Berhormat, kerangka berkenaan akan mengenal pasti pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang diperlukan merentasi peranan keselamatan siber serta mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas untuk golongan profesional.

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, termasuk dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan EU CyberNet, bagi memperkukuh kepakaran teknikal serta keupayaan negara dalam keselamatan siber dan membanteras jenayah siber.

Dalam pada itu, Yang Berhormat berkata, daya tahan siber negara tidak boleh dicapai oleh CSB sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan kerajaan, pengendali CII, perniagaan, penyedia teknologi, pihak akademik dan rakyat.

Yang Berhormat menekankan, kejayaan transformasi digital negara bukan hanya diukur berdasarkan sejauh mana teknologi diterima pakai, tetapi juga berdasarkan tahap keyakinan terhadap teknologi, keselamatan penggunaannya serta keupayaan untuk bertindak balas dan pulih dengan pantas apabila berhadapan dengan ancaman.

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat turut menggalakkan peserta menggunakan platform persidangan untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman serta mengenal pasti peluang kerjasama yang dapat memperkukuh daya tahan NBD dan rantau ini.