NBD lancarkan jerayawara VBY 2027 di Jakarta

13 Sep 2026 - 6:27am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Sabtu, 12 September. – Negara Brunei Darussalam (NBD) melancarkan jerayawara pertama Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027  – VBY 2027) di Republik Indonesia yang berlangsung di Kota Kasablanka, Jakarta, pada 12 hingga 13 September 2026.

Jerayawara tersebut merupakan inisiatif terkini Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dalam mempromosikan VBY 2027 serta meningkatkan kesedaran mengenai destinasi dalam kalangan pelancong Indonesia menjelang tahun kempen berkenaan.

Pelancarannya disempurnakan oleh tetamu kehormat, Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Indonesia, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir, sejurus ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah JKP, Dayang Hajah Salinah binti Haji Mohd. Salleh.

Diadakan di sebuah lokasi tumpuan orang ramai yang mempunyai kunjungan tinggi di Jakarta, jerayawara tersebut membawa tawaran pelancongan Brunei secara langsung kepada pasaran Republik Indonesia melalui gabungan promosi destinasi, penglibatan pengguna dan jualan pakej pelancongan.

Para pengunjung diperkenalkan kepada pengalaman alam semula jadi, kebudayaan, pengembaraan dan riadah di Brunei, di samping tawaran pelancongan perubatan.

Persembahan tradisional, permainan interaktif serta aktiviti penyampaian maklumat mengenai destinasi turut menyokong usaha mempromosikan Brunei sebagai destinasi jarak dekat yang mudah dikunjungi dan menawarkan kepelbagaian pengalaman kepada pelancong Republik Indonesia.

Delegasi NBD terdiri daripada wakil-wakil JKP di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), syarikat penerbangan, sebuah agensi pelancongan tempatan, pihak hotel serta sebuah institusi perubatan tempatan.

Jerayawara tersebut turut menampilkan penyertaan agensi-agensi pelancongan Republik Indonesia yang aktif mempromosikan NBD sebagai destinasi percutian serta menawarkan pakej pelancongan ke NBD secara langsung kepada pengguna di Jakarta.

Penyertaan mereka membantu menterjemahkan kesedaran mengenai destinasi kepada peluang perjalanan yang boleh ditempah, di samping memperkukuh hubungan NBD dengan industri pelancongan Republik Indonesia.

Melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan yang memahami keutamaan pelancong Republik Indonesia, Brunei dapat meningkatkan keterlihatan dan akses kepada pakej pelancongan serta menggalakkan lebih banyak agensi pelancongan untuk mengetengahkan NBD dalam pakej percutian khusus dan itinerari pelbagai destinasi.

Ketibaan pelawat dari Republik Indonesia terus menunjukkan pertumbuhan yang positif. Pada tahun 2025, NBD menerima seramai 31,747 pelawat dari Republik Indonesia melalui udara, manakala ketibaan dari Januari hingga Julai 2026 mencapai 23,989 orang - kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding 18,404 orang yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2025.

Dengan jumlah penduduk Republik Indonesia yang besar, kedudukan geografi yang berdekatan serta permintaan yang kukuh terhadap perjalanan jarak dekat, JKP akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan rakan industri lain untuk meningkatkan keterlihatan NBD, memperkukuh pengedaran pakej pelancongan serta menggalakkan kunjungan semula dan kunjungan baharu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif VBY 2027, JKP akan melaksanakan pelbagai aktiviti B2C dan B2B di pasaran-pasaran terpilih bagi berinteraksi secara langsung dengan pengguna, memperkukuh hubungan dengan industri pelancongan serta meningkatkan keterlihatan dan pengedaran tawaran pelancongan NBD.

Usaha-usaha ini akan disokong melalui kempen destinasi yang disasarkan, kerjasama industri, inisiatif kesalinghubungan udara serta pembangunan pakej pelancongan bagi menterjemahkan kesedaran pasaran kepada permintaan perjalanan dan ketibaan pelawat.

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran pelancongan NBD, sila layari ‘www.bruneitourism.com’ atau ikuti akaun Instagram ‘@brunei.tourism’.