Siaran Akhbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang dijangka berterusan sehingga bulan September 2026. Keadaan cuaca aktif diramalkan bermula hari ini, Rabu, 16 September 2026 hingga Isnin, 21 September 2026.
Hujan lebat dan berpetir dijangka sekali-sekala menjejaskan negara. Kelajuan angin boleh mencapai sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir. Manakala, keadaan laut di perairan NBD, pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian di bawah 1.0 meter.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi kejadian banjir kilat, tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).