Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Mohammad Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Jumaat, 18 September. - Hubungan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China telah mengharungi pelbagai perubahan keadaan antarabangsa dan terus bergerak maju dengan mantap.
Sempena Ulang Tahun Ke-35 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara, Republik Rakyat China bersedia untuk bekerjasama dengan semua lapisan masyarakat NBD bagi terus memperkukuh kepercayaan strategik bersama, memperdalam kerjasama persahabatan dalam semua bidang serta berganding bahu dalam usaha memajukan pembangunan negara masing-masing.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun pada Persembahan Seni bertajuk 'My Dream' oleh The China Disabled People Perfoming Arts Troupe yang berlangsung malam tadi di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), di sini.
Menurut Tuan Yang Terutama, persembahan malam ini bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, malah menjadi jambatan persahabatan yang menggalakkan saling belajar antara tamadun dan mendekatkan hati rakyat NBD dan Republik Rakyat China.
TYT turut menekankan bahawa NBD dan Republik Rakyat China merupakan negara jiran yang bersahabat dan mempunyai sejarah pertukaran persahabatan sejak lebih seribu tahun melalui Laluan Sutera Maritim.
Kedua-dua negara akan terus berusaha menggalakkan pembinaan komuniti NBD dan Republik Rakyat China dengan masa depan yang dikongsi bersama agar mencapai kemajuan yang lebih kukuh dan nyata, membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, tambah TYT lagi.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha;
Persembahan yang diadakan dengan kerjasama Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam berkenaan menampilkan 17 persembahan oleh penyanyi dan penari kelainan upaya dari NBD dan Republik Rakyat China.