MUIB, MUI perkukuh ukhuwah Islamiah, tingkatkan kerjasama

1 Sep 2026 - 6:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT, Isnin, 31 Ogos. - Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan rombongan baru-baru ini telah menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Daerah (RAKORDA) Majelis Ulama Indonesia (MUI) Wilayah V Se-Kalimantan Tahun 2026 bertempat di Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Republik Indonesia.

Mesyuarat dikendalikan oleh MUI Kalimantan Barat.

Yang Mulia Naib Yang Di-Pertua MUIB menghadiri mesyuarat berkenaan atas jemputan Dewan Pimpinan MUI Provinsi Kalimantan Barat bagi mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Yang Di-Pertua MUIB.

Mesyuarat berkenaan menghimpunkan seramai 187 perwakilan MUI dari lima wilayah di Pulau Kalimantan, iaitu Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara.

Majlis perasmian disempurnakan di Pendopo Gubernur Kalimantan Barat oleh Sekretaris Daerah Provinsi Kalimantan Barat, Harisson, mewakili Gubernur Kalimantan Barat.

Pertemuan tahun ini bertemakan 'Peranan MUI dalam Merespon Masalah Ekonomi, Ekologi, dan Sosial Keagamaan di Tengah Perubahan Zaman', dan turut disertai oleh perwakilan dari Sarawak, Malaysia.

Naib Yang Di-Pertua MUIB turut menyertai sesi dialog bersama pihak MUI dengan Naib Yang Di-Pertua MUIB telah membentangkan mengenai fungsi dan peranan MUIB di Negara Brunei Darussalam (NBD).

NBD dan wilayah-wilayah di Kalimantan juga berkongsi warisan keislaman yang panjang di Pulau Borneo. Kerjasama seumpama berkenaan adalah penting bagi memperkukuh ukhuwah Islamiah, di samping membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang pendidikan agama dan hal ehwal keagamaan di kepulauan Borneo.

Antara kepimpinan yang turut menyertai sesi perbincangan berkenaan, Pengerusi MUI Pusat, Dr. H. Anwar Abbas; Setiausaha Agung MUI Pusat, Dr. H. Amirsyah Tambunan; dan Ketua MUI Kalimantan Barat, K. H. Basri Har.

Penyertaan NBD pada mesyuarat berkenaan adalah diharap akan dapat mempererat ukhuwah Islamiyah di samping memperkukuh hubungan dan kerjasama antara MUIB dan MUI (Republik Indonesia).

Turut mengiringi Naib Yang Di-Pertua MUIB, Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu selaku Pemangku Timbalan Setiausaha MUIB; dan Pegawai Pelajaran Kanan di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan, Awang Haji Azrul Melda bin Dato Paduka Haji Abu Bakar; serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar NBD di Jakarta, Republik Indonesia.