Mewujudkan persekitaran mukim yang bersih, selamat, harmoni

21 Sep 2026 - 6:26am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’

 

BERAKAS, Ahad, 20 September. - Usaha menjaga kebersihan dan keselamatan persekitaran terus diperkasa melalui Program Kempen Gotong-Royong Bulanan Mukim Berakas ‘B’ yang kali ini diadakan di RPN Lambak Kanan Kawasan 4

Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada kerja-kerja mencantas dahan-dahan dan pokok yang tumbuh sehingga ke bahu jalan utama kawasan berkenaan, yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Menyertai kempen tersebut ialah Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Lambak Kanan Kawasan 4, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Awang Haji Abu Bakar bin Pehin Orang Kaya Udana Lela Dato Paduka Awang Haji Umar, serta pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Perumahan.

Hadir mengepalai kempen tersebut ialah Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.

Program seumpama ini merupakan antara usaha berterusan Mukim Berakas ‘B’ dalam memupuk budaya bergotong-royong, memperkukuhkan semangat hidup bermasyarakat serta meningkatkan keprihatinan terhadap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan persekitaran kampung.

Di samping itu, usaha kecil yang dilaksanakan secara bersama ini turut mencerminkan pendekatan kepimpinan melalui teladan (‘leadership by example’), khususnya dalam menggalakkan penglibatan masyarakat terhadap penjagaan kawasan masing-masing.

Penghargaan dan ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Jabatan Kemajuan Perumahan atas kehadiran, sokongan dan kerjasama yang diberikan, serta kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan kempen tersebut.

InsyaaAllah, program gotong-royong bulanan ini akan diteruskan di kawasan-kawasan lain di bawah Mukim Berakas ‘B’ pada bulan-bulan mendatang, selaras dengan usaha ke arah mewujudkan persekitaran mukim yang bersih, selamat dan harmoni.