Mesyuarat Tangani Beban Penyakit Berjangkit, Tidak Berjangkit

12 Sep 2026 - 6:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Jumaat, 11 September. - Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan (17th ASEAN Health Ministers Meeting And Related Meetings) telah bersidang di Kuala Lumpur, Malaysia pada 9 sehingga 11 September 2026.

Mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 telah pun diadakan pada 10 September 2026 dan didahului dengan satu Sidang Retreat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN yang membawa tajuk ‘Breaking Silos, Building Synergies : A Strategic Retreat on Navigating ASEAN’s Dual Burden of Communicable and Non-Communicable Diseases’ pada 9 September 2026.

Pada Sidang Retreat itu, Menteri-menteri Kesihatan ASEAN telah membincangkan mengenai membina sinergi secara terbuka dalam menangani beban penyakit-penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta bertukar-tukar maklumat mengenai pencapaian serta cabaran-cabaran yang dialami di rantau ASEAN semasa kebelakangan ini, dan seterusnya memberi rekomendasi serta hala tuju bagi sektor komitmen-komitmen kesihatan secara untuk berkesan, melaksanakan khususnya dalam mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan secara bersepadu di peringkat nasional dan serantau.

Sidang Retreat tersebut telah pun diikuti dengan Sesi Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN mengenai ASEAN Center on Public Health Emergencies and Emerging Diseases (ACPHEED), dengan tajuk ‘ACPHEED : Recognising and overcoming setbacks in the region’s development trajectory on PPR strengthening’.

Di sesi mesyuarat tersebut, NBD telah pun menyokong bagi penyelesaian mana-mana isu dan pemuktamadan serta penandatanganan Establishment Agreement bagi ACPHEED, dengan sokongan dan bantuan teknikal dari Mesyuarat Pegawai Kanan Kesihatan (SOMHD) dan Sekretariat ASEAN. Dengan tema ‘ASEAN yang Sihat : Bersama Ke Arah Sistem Kesihatan yang Saksama dan Sedia untuk Masa Hadapan (Healthy ASEAN : Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems)’.

Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Kali Ke-17 ini telah pun menumpukan topik perbincangan kepada ‘Mensinergikan sistem kesihatan untuk Daya Tahan, Kesejahteraan dan Keselamatan Kesihatan’ (Synergizing health systems for Resilience, Well-Being and Health Security).

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam kenyataannya telah menyatakan sokongan terhadap Agenda Strategik Kesihatan ASEAN (ASHA) 2026–2030 yang telah dilancarkan pada sesi upacara pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN kali ke 17, yang dapat memberi peluang bagi Negara-negara Ahli ASEAN untuk bekerjasama serta memupuk ASEAN menjadi rantau yang berdaya tahan dalam menjaga kesihatan serta kesejahteraan penduduknya dan menyeru agar ASEAN akan dapat menterjemahkan komitmen berkenaan kepada pelaksanaan yang berkesan serta menghasilkan peningkatan kesihatan yang nyata dan boleh diukur.

Dalam menyokong ASHA tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah menyentuh mengenai beberapa keutamaan iaitu termasuk memperkukuh daya tahan sistem kesihatan melalui pendekatan One Health serta mengalu-alukan kerjasama serantau dalam sama-sama menangani keselamatan kesihatan dengan pengoperasian ACPHEED.

Di samping itu, ASEAN juga perlu bersedia untuk menangani peralihan demografi, dengan melihatnya bukan hanya sebagai cabaran kesihatan malahan sebagai cabaran masyarakat dan fiskal jangka-panjang, dengan mengambil penekanan terhadap langkah pencegahan, penuaan sihat, intervensi awal serta pengurusan penyakit kronik yang disokong oleh kesihatan digital.

Selain itu, kerjasama dengan rakan kongsi pembangunan dan dialog secara terkoordinasi juga perlu terus diperkukuhkan dengan diterajui oleh ASEAN selaras dengan keutamaan ASHA.

NBD berpandangan bahawa kejayaan ASHA 2026–2030 hendaklah diukur bukan sahaja melalui pelaksanaan inisiatif bersama, tetapi juga berdasarkan sejauh mana ia dapat memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sihat serta sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pada mesyuarat tersebut, Menteri-menteri Kesihatan ASEAN juga telah bersepakat untuk meluluskan Kenyataan Bersama (Joint Statement) yang mengetengahkan persetujuan- persetujuan di dalam bidang kerjasama kesihatan ASEAN.

Semasa Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 ini juga, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengadakan mesyuarat sampingan tidak rasmi bersama Menteri-menteri Kesihatan ASEAN dalam mempertingkatkan kerjasama di antara WHO dan ASEAN khususnya dari segi kesihatan dan kesejahteraan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga telah menghadiri satu sesi sampingan berkenaan dengan Pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-paru Merentas ASEAN yang mana Malaysia adalah salah satu negara yang mengetuai resolusi mengenai kesihatan paru-paru, di mana NBD adalah negara cosponsor dan yang telah pun diluluskan semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78.

Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 telah pun disusuli dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Ke-11 (11th ASEAN Plus Three Health Ministers Meeting), Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Rakyat China Ke-10 (10th ASEAN China Health Ministers Meeting), Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN dan Republik Korea Ketiga (3rd ASEAN Republic of Korea Health Ministers Meeting), Mesyuarat Pertama Menteri-menteri Kesihatan ASEAN dengan Amerika Syarikat (1st ASEAN-U.S. Health Ministerial Meeting) dan Mesyuarat Pertama Menteri- menteri Kesihatan ASEAN-Jepun (1st ASEAN-Japan Health Ministerial Meeting).

Pada setiap mesyuarat tersebut, menteri-menteri kesihatan juga telah pun bersetuju untuk mengeluarkan Kenyataan Bersama yang menghuraikan persetujuan - persetujuan berdasarkan bidang kerjasama (areas of cooperation) kesihatan masing-masing.

Semasa berada di Kuala Lumpur, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Yang Berhormat Budi Gunadi Sadikin dan Menteri Kesihatan Singapura, Yang Berhormat Ong Ye Kung, bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan di negara masing-masing serta meninjau bagi perlaksanaan kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua-dua buah negara.