Mesyuarat bincang persiapan pengurusan haji 2027

9 Sep 2026 - 7:52am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. - Dalam memastikan persiapan dan pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi  dapat  dilaksanakan  dengan  lebih  teratur,  lancar  dan  berkesan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, (KHEU) bersama-sama Kementerian Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi mengadakan Mesyuarat Persiapan Pengurusan Haji bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi secara dalam talian.

Bagi pihak KHEU, mesyuarat tersebut diadakan di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, Bangunan Darul Itqan, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas.

Mewakili KHEU pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha  Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain  bin  Pehin  Penyurat  Awang Haji  Ahmad,   selaku Pengerusi;  Setiausaha  Tetap  (Urustadbir  Perkhidmatan Awam),  Jabatan  Perdana  Menteri (JPM),  Awang  Ajman  bin  Haji  Meludin;  Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC),  Awang  Suhara  Fadzali  bin  Haji  Yusop,   selaku wakil Setiausaha Tetap MTIC; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, selaku wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Riyadh, Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Konsul Agung NBD  di  Jeddah, Dayang Nur Farahanah binti Haji Sarbini;  Ketua Pengarah  Perkhidmatan  Perubatan  dan  Kesihatan,  Kementerian  Kesihatan,  Pengiran  Dr.  Haji  Md  Khalifah  bin  Pengiran  Haji  Ismail;  Pengarah Urusan Haji, KHEU, Awang  Haji Abdullah bin Haji Mohamad;  Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) Radio Televisyen  Brunei (RTB), Awang Muhammad Zulkarnain bin Haji Brahim@ Ahmad, selaku  wakil  Pemangku  Pengarah  RTB;  Ketua  Pegawai Komersial, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Joshua  Kok  Hwa  Law; dan Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, KHEU, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Mesyuarat  berkenaan  antara  lain  membincangkan  perkara-perkara  berkaitan  kuota  jemaah  haji  dan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (PUJH) NBD, syarat-syarat dan keperluan haji, penerbangan haji, perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta Media Pelapor Haji bagi Musim Haji 1448 Hijrah/2027 Masihi. 

Mesyuarat  turut  membincangkan  isu-isu  yang  berbangkit  daripada  pengurusan  Musim  Haji  1447 Hijrah / 2026  Masihi  serta cadangan-cadangan  penambahbaikan  bagi  meningkatkan  lagi  pengurusan jemaah haji pada musim akan datang. 

Hasil perbincangan mesyuarat tersebut akan dibawa ke peringkat menteri untuk perbincangan lanjut semasa Persidangan dan Pameran Haji Edisi Ke-6 (6th Edition of Hajj Conference and Exhibition) yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada bulan November 2026.