Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
TEMBURONG, Selasa, 22 September. - Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan Taklimat Kesedaran Jenayah Siber bagi kepimpinan akar umbi dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong, baru-baru ini.
Taklimat tersebut dihadiri oleh Penghulu Mukim, Pemangku Penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Pemangku Ketua-ketua Kampung serta pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong.
Turut hadir bagi menyokong program berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau selaku wakil Daerah Temburong.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, yang mengetengahkan dua fokus utama, iaitu trend terkini jenayah siber dan bahaya keldai akaun.
Taklimat memfokuskan kepada beberapa perkara, antaranya pendedahan mengenai taktik-taktik jenayah siber terkini, termasuk penyamaran sebagai pegawai kerajaan, penipuan pelaburan, penipuan e-dagang serta penipuan dalam talian yang menyasarkan penduduk kampung.
Selain itu, taklimat turut menekankan bahaya menjadi keldai akaun, di mana perbuatan meminjamkan, menyewakan atau menyerahkan akaun bank dan kad SIM kepada pihak ketiga boleh membawa kepada kesalahan jenayah yang serius.
Program seumpama ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kewaspadaan masyarakat, khususnya kepimpinan akar umbi, dalam mengenal pasti serta mencegah ancaman jenayah siber.
Kerjasama dan peranan aktif kepimpinan akar umbi juga penting dalam memastikan maklumat berkaitan jenayah siber, termasuk penggunaan Talian Bantu Anti-Penipuan 16993, dapat disebarluaskan dengan lebih berkesan kepada masyarakat di seluruh Daerah Temburong.