Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Pejabat Peguam Negara (AGC), melalui Pejabat Harta Intelek (BRUIPO) telah mengadakan seminar bersempena Hari Harta Intelek Sedunia 2026, dengan tema 'IP and Sports : Ready, Set, Innovate', bertempat di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Pejabat Peguam Negara pada 20 Ogos 2026.
Seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dan Pendaftar Tanda Perniagaan, Paten dan Reka Bentuk Perindustrian. Seminar tersebut dihadiri oleh wakil-wakil daripada agensi kerajaan, persatuan sukan kebangsaan, atlet, kelab sukan, institusi pendidikan, para usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pemilik jenama, pencipta kandungan dan orang ramai.
Acara berkenaan juga telah menghimpunkan peserta daripada pelbagai sektor bagi meneroka kepentingan dan perkembangan hubungan antara harta intelek (Intellectual Property-IP) dengan industri sukan.
Yang Berhormat Peguam Negara dalam ucaptama menekankan bagaimana hak IP mendukung perkembangan inovasi, kreativiti, dan komersial menerusi ekosistem sukan. Para peserta digalakkan untuk melihat lebih jauh daripada pandangan tradisional dan menimbang bagaimana IP menyumbang kepada pembangunan dan perlindungan jenama sukan, logo, barang niaga, kandungan penyiaran, pengaturan tajaan, hak imej atlet, kandungan digital dan teknologi sukan yang sedang berkembang.
Bagi memperingati Hari IP Sedunia, Yang Berhormat turut melancarkan Pertandingan Video yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan dan mencungkil kreativiti orang ramai di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan IP.
Pegawai-pegawai daripada Pejabat Harta Intelek mengemukakan aspek utama tentang peranan IP dalam sukan, termasuk perlindungaan jenama sukan dan kandungan kreatif, inovasi dan teknologi dalam sukan, peluang komersil melalui tajaan, penyiaraan dan pelesenan serta penjenamaan atlet dan pengkomersilan pencapaian sukan.
Selain itu, wakil daripada International Olympic Committee (IOC), mendedahkan peserta tentang prospektif antarabangsa berkenaan dengan sukan dan IP pada peringkat global. Bertepatan dengan tema 'IP and Sports : Ready, Set, innovate', para peserta mengambil bahagian dalam 'Sports and IP Interactive Pulse Check' menerusi kuiz dan perbincangan yang dirangka bagi menggalakkan penglibatan dan meningkatkan kesedaran tentang hubungan antara sukan, inovasi dan harta intelek.
Objektif seminar adalah untuk memupuk kesedaran tentang peranan IP yang semakin penting dalam industri sukan, di samping menekankan kepentingan melindungi dan mengurus aset IP secara terancang bagi mendukung peluang inovasi, kreativiti dan komersil dalam sektor tersebut.
Hari IP Sedunia disambut pada 26 April setiap tahun bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan peranan IP bagi meningkatkan inovasi dan kreativiti, dan mengetengahkan sumbangannya terhadap pembangunan ekonomi, budaya dan sosial.