Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Sesungguhnya, ibadat haji bukan sekadar menuntut kemampuan dari segi kewangan, bahkan turut menuntut pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga, kesabaran serta ketabahan jiwa.
Bakal jemaah haji perlu meninggalkan ahli keluarga, keselesaan kehidupan seharian dan tanah air tercinta semata-mata untuk menyahut seruan Allah Subhanahu Wata’ala dalam menyempurnakan rukun Islam yang kelima.
Justeru, bagi setiap individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah, persediaan ilmu merupakan suatu keperluan yang amat penting. Mereka bukan sahaja perlu mengetahui, bahkan hendaklah memahami dan menghayati ilmu manasik haji dan umrah agar setiap rukun, wajib dan sunat-sunat haji dan umrah serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya dapat dilaksanakan dengan betul, teratur dan sempurna.
Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad selaku tetamu kehormat berucap sedemikian semasa Majlis Penutup Muzakarah Haji Kali Ke-34 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi anjuran Jabatan Urusan Haji (JUH), KHEU bertempat di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Dar Al-Itqan, KHEU.
Dalam hal ini tambahnya, peranan guru-guru pengkursus dan pembimbing ibadat haji dan umrah yang dilantik amatlah besar dan signifikan. Mereka bukan sekadar bertindak sebagai penyampai ilmu, malah turut memikul amanah dan tanggungjawab untuk membimbing, mendidik serta memberikan kefahaman yang jelas kepada bakal jemaah haji.
“Keberkesanan penyampaian ilmu dan bimbingan yang diberikan adalah menjadi antara faktor penting dalam membantu bakal jemaah membuat persediaan yang rapi, seterusnya melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan penuh keyakinan, tertib dan sempurna ketika berada di Tanah Suci nanti,” ujarnya.
Seterusnya beliau menyarankan agar semua guru pengkursus ibadat haji dan umrah sentiasa memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap beberapa perkara penting dalam penyampaian kursus, antaranya, memberikan penekanan terhadap penghayatan ibadat ketika berada di Arafah dan Mina; memberikan pendedahan mengenai kemudahan dan perkhidmatan di Arafah dan Mina; mempersiapkan bakal jemaah dari segi fizikal, mental, emosi, dan rohani; memberikan bimbingan doa dan zikir yang bersesuaian dan menyeragamkan kefahaman dan penyampaian hokum-hakam berkaitan permasalahan ibadat.
Dr. Awang Haji Mohammed Hussain berharap agar menjadikan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh melalui muzakarah ini sebagai nilai tambah untuk memperluas serta memantapkan lagi kefahaman sedia ada mengenai hukum-hakam dan pelaksanaan ibadat haji dan umrah.
Selain itu tambahnya, mengaplikasikan dan menyebarluaskan ilmu yang diperoleh dengan berkongsi maklumat serta menyampaikan panduan yang tepat kepada para pelajar, bakal jemaah haji dan masyarakat awam, sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Seterusnya, memanfaatkan platform muzakarah ini sebagai ruang untuk membina jaringan kerjasama, bertukar-tukar pandangan dan pendapat serta berkongsi pengalaman dan menyelaraskan pendekatan dalam penyampaian ilmu berkaitan ibadat haji dan umrah serta melahirkan generasi pelapis yang berilmu, berkemahiran dan berwibawa untuk meneruskan kesinambungan tugas sebagai guru pengkursus dan pembimbing ibadat haji dan umrah di masa akan datang.
Pada majlis berkenaan, turut diadakan pembentangan Kertas Kerja Perdana bertajuk ‘Haji Di Era Digital : Bijak Mencari Maklumat, Tepat Merujuk Ilmu’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Mohd. Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk.
Pada sebelah pagi, seramai 128 peserta telah menghadiri Muzakarah Haji Kali Ke-34 yang terdiri daripada guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah; tenaga pengajar dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU; tenaga pembimbing saudara-saudara baharu (mualaf) dan daie-daie dari Pusat Da’wah Islamiah, KHEU; pegawai-pegawai dan imam-imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU; mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); penuntut-penuntut Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah; para peserta Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) serta pembimbing ugama daripada syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah.
Sepanjang muzakarah tersebut, para peserta turut mengikuti pembentangan kertas-kertas kerja yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, yang mengupas secara terperinci isu hukum-hakam berkaitan manasik haji.
Pembentangan berkenaan bertujuan memberikan penjelasan serta memperkukuh kefahaman para peserta terhadap permasalahan hukum yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadat haji dan umrah.
Selain itu, muzakarah berkenaan turut memberikan pendedahan mengenai situasi dan perkembangan semasa di Tanah Suci, khususnya di Arafah dan Mina, termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan, jangkaan serta keperluan bakal jemaah haji ketika berada di Tanah Suci, dan dasar serta peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Muzakarah tersebut juga bertujuan memperjelas pengurusan haji Negara Brunei Darussalam, termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU serta pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus syarikat pengendali perkhidmatan haji dan umrah.