Dr. Akita Yuki terima penghargaan pengiktirafan sumbangan

26 Nov 2026 - 8:49am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

SUNGAI TILONG, Rabu, 25 November. - Dr. Akita Yuki menerima penghargaan daripada Menteri Luar Negeri Jepun sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian beliau dalam mempromosikan pendidikan bahasa Jepun serta memperkukuh hubungan persahabatan antara Jepun dan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Majlis penyampaian penghargaan berkenaan berlangsung di kediaman Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, hari ini.

Pada majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Akita Yuki sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen beliau dalam memajukan pendidikan bahasa Jepun di negara ini.

Dr. Akita Yuki telah berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Bahasa Jepun di Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam (UBD), sejak tahun 2014. Beliau juga merupakan satu-satunya warga Jepun yang mengajar bahasa Jepun di negara ini dan mengendalikan pengajaran kepada kira-kira 100 pelajar tempatan setiap tahun.

Selain itu, selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan, NBD untuk memperkenalkan bahasa Jepun sebagai mata pelajaran di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 2025, Dr. Akita Yuki turut memainkan peranan aktif dalam membimbing guru-guru tempatan serta membangunkan kurikulum bagi mata pelajaran berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, wakil UBD, serta rakan sekerja dan para pelajar Dr. Akita Yuki.

Penghargaan Menteri Luar Negeri Jepun dianugerahkan kepada individu dan kumpulan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam mempromosikan hubungan persahabatan antara Jepun dengan negara-negara lain.

Penghargaan berkenaan juga bertujuan meningkatkan kefahaman serta sokongan masyarakat Jepun terhadap kegiatan dan sumbangan para penerima penghargaan.