Memperkukuh pertukaran budaya Brunei-Jepun

3 Sep 2026 - 6:21am

Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Program Nihongo Partners yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam menjadi platform bagi meningkatkan minat serta motivasi para peserta tempatan untuk mempelajari bahasa Jepun, di samping memperkukuh hubungan kebudayaan antara Brunei dan Jepun.

Program berkenaan turut memberikan peluang kepada para Nihongo Partners (NPs) untuk mengenali dengan lebih dekat budaya dan kehidupan masyarakat Brunei.

Di samping itu, pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di negara ini seterusnya akan dikongsikan apabila mereka kembali ke Jepun, sekali gus berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara.

Seramai tujuh NPs menyertai program berkenaan, terdiri daripada Rikako Ishikawa, Akiko Inada, Chiaki Kasai, Kiyo Koyama, Hitoshi Sato, Tomiyo Naka dan Tomoha Noguchi.

Turut menyertai program ialah enam orang kakitangan Japan Foundation, termasuk Shiina Yamada selaku kakitangan dan Taku Okamoto selaku pakar bahasa Jepun.

Sepanjang program, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang memperkenalkan budaya Jepun, antaranya mencuba pakaian tradisional Jepun seperti Yukata dan Happi, permainan Fukuwarai, seni lipatan kertas origami serta permainan tradisional Kendama.

Kunjungan ke Negara Brunei Darussalam berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 September 2026, dengan salah satu pengisian program diadakan di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam pada 1 September 2026.

Program seumpama itu diharap dapat memperluaskan pemahaman mengenai budaya kedua-dua negara serta menggalakkan pertukaran pengalaman antara masyarakat Brunei dan Jepun, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembelajaran bahasa.