Memperkukuh penyertaan usahawan wanita dalam ekonomi digital

27 Og 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Big BWN Project hari ini menganjurkan Majlis Graduasi bagi menandakan selesainya projek Enhancing Digital Economy Participation for ASEAN Women MSMEs (IDEAS) di Negara Brunei Darussalam (NBD), sekali gus meraikan pencapaian 242 usahawan wanita dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menamatkan program berkenaan melalui 12 kohort latihan di keempat-empat daerah.

Majlis berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) selaku pusat tumpuan dan wakil kepada Jawatankuasa Penyelarasan ASEAN bagi PMKS (ASEAN Coordinating Committee on Micro, Small and Medium Enterprises-ACCMSME), yang menyelia pelaksanaan projek berkenaan di NBD.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, yang turut menyumbang kepada program berkenaan sebagai salah seorang mentor, bersama-sama mentor, jurulatih dan ahli pasukan projek yang lain.

Setiap kohort menjalani program latihan dan bimbingan intensif selama empat minggu yang merangkumi pembangunan dan inovasi model perniagaan, pembangunan pelanggan dan pengumpulan dana, e-dagang, pemasaran digital, pembangunan kandungan digital, privasi dan keselamatan siber, serta pemerkasa wanita dalam ekonomi digital.

Para peserta turut menerima geran e-perniagaan sebanyak USD50 bagi menyokong pendaftaran perniagaan secara rasmi, pembukaan akaun bank korporat serta perolehan peralatan dan perkhidmatan perniagaan digital.

Berucap pada majlis berkenaan, Pengarah Pembangunan Perusahaan (DARe) di BEDB, Dayang Norlela Suhailee berkata, Projek IDEAS mencerminkan usaha BEDB untuk memanfaatkan platform serantau bagi mewujudkan peluang dan sokongan yang lebih luas kepada Perusahaan, Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Jelasnya lagi, projek IDEAS telah menyediakan para usahawan kita dengan peluang yang amat bernilai untuk memperkukuh keupayaan digital, mendapatkan pendedahan yang lebih luas serta membina keyakinan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Lebih penting lagi, ia menunjukkan bagaimana kerjasama serantau dapat melengkapi usaha negara dalam menyokong PKMS untuk berkembang, mendigitalkan dan memformalkan perniagaan mereka.

"Kami berbesar hati kerana dapat memudah cara pelaksanaan inisiatif ini di NBD dan berharap untuk melihat para peserta memanfaatkan pengalaman ini ketika mereka meneruskan perjalanan keusahawanan masing-masing," ujarnya lagi.

Dalam majlis berkenaan, para peserta yang menamatkan program turut berkongsi pengalaman dan perjalanan keusahawanan mereka, antaranya Aziemah, Norfazilah binti Haji Abd. Salam dari Sweet Sorpresa; sementara Faridah Taufik dari Chef Mira; manakala Nur Khafidah Alwa dari Decor Brunei.

Sebagai sebahagian daripada komponen serantau program berkenaan, peserta NBD yang mempunyai pencapaian cemerlang, termasuk Aziemah, telah dipilih untuk mewakili NBD pada IDEAS Project Expo Showcase di Seoul, Republik Korea, dari 25 hingga 27 Ogos 2026. Mereka akan mengetengahkan perniagaan masing-masing serta berhubung dengan para usahawan dari seluruh rantau ini.

Projek IDEAS merupakan inisiatif serantau yang diterajui oleh Asia Pacific Women's Information Network Center (APWINC) di Sookmyung Women's University, Republik Korea, di bawah ACCMSME, dengan sokongan daripada ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF).

Big BWN Project berperanan sebagai Rakan Pelaksana Kebangsaan bagi projek berkenaan di NBD. Projek berkenaan dilancarkan secara rasmi di NBD pada Jun 2024, dengan matlamat memperkukuh penyertaan usahawan wanita dalam ekonomi digital melalui pembangunan kapasiti, kemahiran digital dan e-perniagaan, serta meningkatkan hubungan antara negara-negara ASEAN dan Republik Korea.

Peserta yang perniagaannya masih belum terhubung dengan program atau rangkaian BEDB digalakkan untuk menghubungi BEDB bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sokongan yang tersedia ketika mereka meneruskan ke peringkat seterusnya dalam perkembangan perniagaan masing-masing.