Memperkukuh keupayaan profesional, meneroka pendekatan terkini bidang pemulihan neurorehabilitasi

29 Og 2026 - 5:43am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan perkhidmatan pemulihan neurorehabilitasi di Negara Brunei Darussalam (NBD) menerusi pelancaran  Borneo Neurorehabilitation Workshop (BNRWE), yang dianjurkan oleh Jabatan Rehabilitasi, Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC), JPMC.

Bengkel selama empat hari yang julung kalinya diadakan berkenaan merupakan bengkel neurorehabilitasi khusus yang pertama seumpamanya yang diadakan di NBD.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran bengkel berkenaan disempurnakan oleh  Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan dan JPMC.

Bengkel berkenaan menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh keupayaan profesional, menggalakkan pertukaran ilmu serta meneroka pendekatan terkini dalam bidang pemulihan neurorehabilitasi.

Bengkel diadakan selaras dengan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan rehabilitasi khusus di NBD. Di BNSRC, jumlah pesakit yang menjalani neurorehabilitasi melalui rawatan dalam wad meningkat daripada 181 orang pada 2024 kepada 211 orang pada 2025, sekali gus menunjukkan keperluan berterusan untuk melabur dalam kepakaran khusus, pembangunan tenaga kerja serta pendekatan inovatif dalam penjagaan pesakit.

Neurorehabilitasi memainkan peranan penting dalam membantu individu yang terjejas akibat keadaan neurologi untuk mendapatkan semula fungsi tubuh, kemandirian dan kualiti hidup.Oleh kerana keperluan rehabilitasi sering kali kompleks, penjagaan memerlukan pendekatan multidisiplin yang melibatkan bidang perubatan rehabilitasi, kejururawatan serta profesional kesihatan bersekutu, dengan pesakit sentiasa menjadi tumpuan utama.

Sementara itu, Pengerusi Borneo Neurorehabilitation Workshop, Dato' Dr. Zaliha binti Omar, dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan penjagaan yang mengutamakan pesakit, intervensi multimodal serta kerja berpasukan secara kolaboratif di samping turut menekankan peranan pendidikan dan inovasi dalam memperkukuh perkhidmatan rehabilitasi.

Bengkel berkenaan menampilkan  23 penceramah dari NBD, Malaysia, Republik Singapura dan Republik Itali, serta disertai oleh lebih daripada  70 peserta  dari NBD, Malaysia, Arab Saudi, Republik Rakyat Bangladesh dan Amerika Syarikat, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian.

Program ilmiah bengkel merangkumi bidang- bidang kontemporari termasuk neurorehabilitasi berasaskan bukti, neurorehabilitasi klinikal serta  Complementary Integrative Rehabilitation Medicine (CIRM), yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mendalami bukti terkini, pendekatan klinikal serta perkembangan baharu dalam bidang berkenaan.

Penyertaan di peringkat serantau dan antarabangsa turut membolehkan para profesional tempatan membuat perbandingan amalan, berkongsi pengalaman serta memperkukuh jaringan kerjasama di Borneo dan rantau yang lebih luas.

Aspek inovasi turut diberi penekanan melalui sesi industri dan pameran khas yang menampilkan para pempamer dari NBD, Malaysia dan Republik Singapura. Sesi-sesi berkenaan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknologi rehabilitasi yang baharu muncul serta penggunaannya dalam amalan klinikal.

Manakala pameran pula mengetengahkan perkembangan termasuk peralatan rehabilitasi gerakan berjalan bagi anggota bawah, teknologi bantuan dan rehabilitasi, serta pendekatan yang meneroka penggunaan tumbuh-tumbuhan dan herba sebagai unsur pelengkap dalam proses pemulihan dan rehabilitasi pesakit.

Kesemua komponen berkenaan memperlihatkan peranan teknologi yang semakin berkembang dalam bidang rehabilitasi, di samping menegaskan bahawa teknologi merupakan pemudah cara dalam penjagaan, manakala pesakit kekal sebagai tumpuan utama dalam pembuatan keputusan klinikal dan pelaksanaan rehabilitasi secara multidisiplin.

Pembangunan BNRWE mencerminkan kemajuan perkhidmatan rehabilitasi di JPMC dan landskap penjagaan kesihatan yang lebih luas di NBD. BNSRC terus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang neurosains, strok dan rehabilitasi, manakala JPMC kekal komited untuk memajukan kecemerlangan klinikal, pendidikan, inovasi serta pembangunan perkhidmatan.

Bengkel berkenaan juga merupakan sebahagian daripada aspirasi jangka panjang JPMC untuk membangunkan sebuah  Hab Pendidikan Rehabilitasi, yang akan menyediakan peluang kepada para profesional kesihatan untuk menimba ilmu, mengajar, menjalankan penyelidikan, berinovasi serta menyumbang kepada pembangunan berterusan perkhidmatan rehabilitasi yang bersesuaian dengan keperluan NBD dan rantau yang lebih luas.

Borneo Neurorehabilitation Workshop  merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh keupayaan neurorehabilitasi di NBD serta kerjasama di peringkat serantau, di samping menyokong perkembangan berterusan bidang rehabilitasi ke arah model penjagaan yang lebih khusus, multidisiplin dan inovatif.