Memperkukuh kerjasama dengan penghulu, ahli Pengawasan Kejiranan

9 Okt 2026 - 6:49am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Oktober. - Daerah Polis Brunei dan Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Perjumpaan Suku Tahun bersama Penghulu-penghulu Mukim Daerah Brunei dan Muara bertempat di Bilik Mesyuarat Kerma Setia, Kompleks Mes Pegawai Polis, Gadong, di samping Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Taklimat bagi Ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Kasat, Mukim Lumapas yang berlangsung pada 6 Oktober 2026 lalu di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Kedua-dua program tersebut diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman.

Perjumpaan Suku Tahun yang turut dihadiri oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara serta pegawai-pegawai Daerah Polis Brunei dan Muara itu merangkumi pembentangan statistik jenayah dan kemalangan jalan raya bagi tempoh Januari hingga September 2026, diikuti sesi soal jawab serta perkongsian pandangan mengenai isu keselamatan, pencegahan jenayah dan PK.

Sementara itu, Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Taklimat PK dihadiri oleh pegawai dan anggota PPDB, Penghulu Mukim Lumapas, Ketua Kampung Kasat serta ahli-ahli PK.

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dan taklimat ringkas mengenai panduan PK yang disampaikan oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Abu Bakar @ Addam bin Haji Junaidi.

Seramai 19 ahli PK Kampung Kasat kemudiannya menerima surat lantikan yang disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara.

Kedua-dua program ini bertujuan memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat antara pihak polis dengan para penghulu serta masyarakat setempat dalam usaha menjaga keselamatan, mencegah jenayah dan meningkatkan kesejahteraan penduduk Daerah Brunei dan Muara.