Siaran Akhbar dan Foto : Kulimpapa Orchestra
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Kulimpapa Orchestra, sebuah kumpulan muzik tradisional dan moden dari Negara Brunei Darussalam (NBD), berbesar hati untuk mewakili NBD dalam Next-Generation Asian Performing Artists Community Programme 2026 (NGAPAC 2026) yang akan berlangsung di Gwangju, Republik Korea, bermula 16 hingga 21 September 2026.
Penyertaan berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Kulimpapa Orchestra dalam memperkenalkan serta mengangkat seni muzik tradisional NBD ke peringkat antarabangsa. Melalui penyertaan dalam program berkenaan, Kulimpapa Orchestra berpeluang untuk berkongsi keunikan muzik tradisional NBD yang digabungkan dengan elemen muzik moden dan kontemporari kepada para peserta serta penonton daripada pelbagai negara Asia.
Sepanjang program berkenaan, Kulimpapa Orchestra akan mengadakan persembahan yang mengetengahkan identiti muzik tradisional dan fusion NBD. Selain itu, program berkenaan turut menampilkan persembahan daripada wakil Kemboja, sekali gus menjadi platform pertukaran budaya dan kesenian antara negara-negara Asia.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Bengkel Asas Tarian Aduk-Aduk juga akan diadakan oleh Kulimpapa Orchestra. Bengkel berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan asas tarian tradisional Aduk-Aduk kepada para peserta antarabangsa serta memberikan mereka peluang untuk mengenali, mempelajari dan mengalami sendiri salah satu bentuk warisan seni dan budaya NBD.
Penyertaan Kulimpapa Orchestra dalam NGAPAC 2026 bukan sahaja memberi ruang untuk mempersembahkan karya seni NBD di pentas antarabangsa, malah menjadi peluang untuk menjalinkan hubungan, bertukar pengalaman serta berkongsi pengetahuan bersama penggiat seni dari negara-negara Asia yang lain.
Kulimpapa Orchestra ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) atas sokongan, kepercayaan dan bantuan yang diberikan dalam merealisasikan penyertaan Kulimpapa Orchestra ke NGAPAC 2026 di Gwangju, Republik Korea.
Sokongan yang diberikan amat bermakna dalam usaha Kulimpapa Orchestra untuk membawa nama NBD, khususnya dalam bidang seni muzik dan persembahan tradisional ke pentas antarabangsa.
Kulimpapa Orchestra berharap penyertaan berkenaan akan terus membuka ruang kepada kerjasama budaya antarabangsa pada masa akan datang serta memperkukuh usaha dalam mempromosi muzik, seni persembahan dan warisan budaya NBD di peringkat serantau dan antarabangsa.