Memperkenalkan asas keselamatan, kesihatan dalam kalangan pelajar

29 Og 2026 - 5:24am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, telah melaksanakan Program Jangkauan #SAFEKIDSBN di Sekolah Rendah Sengkurong bagi memperkenalkan asas keselamatan dan kesihatan melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berkesan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SHENA dalam memupuk budaya keselamatan dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Sesi berkenaan turut menggalakkan para pelajar mengamalkan tingkah laku selamat bukan sahaja di sekolah, malah di rumah dan dalam kehidupan seharian.

Seramai 86 pelajar menyertai sesi tersebut yang merangkumi taklimat keselamatan, pembentangan, aktiviti berasaskan pengalaman serta latihan berkumpulan yang direka bagi meningkatkan kesedaran, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.

Antara sorotan utama program ialah pengalaman pembelajaran menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) yang membolehkan para pelajar meneroka persekitaran simulasi bagi mengenal pasti bahaya dan mengamalkan kaedah membuat keputusan yang selamat.

Pendekatan inovatif tersebut mencerminkan komitmen SHENA dalam menggunakan kaedah pembelajaran yang menarik bagi menjadikan pendidikan keselamatan lebih berkesan dan menyeronokkan.

Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar mengambil bahagian dengan penuh semangat dan dibimbing secara aktif oleh pegawai-pegawai SHENA serta guru-guru mereka.

Markah diberikan berdasarkan penyertaan, kerjasama dan semangat yang ditunjukkan, manakala kumpulan terbaik menerima pengiktirafan khas. Hadiah dan sijil turut disampaikan kepada para pelajar sebagai tanda penghargaan atas penglibatan positif mereka.

Program seperti #SAFEKIDSBN merupakan sebahagian daripada usaha SHENA yang lebih luas dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta memupuk budaya mengutamakan keselamatan dalam kalangan semua peringkat umur.

Melalui penglibatan golongan pelajar, SHENA berharap dapat memperkasakan generasi akan datang untuk menjadi peneraju dalam membudayakan keselamatan dan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.