Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Selasa, 1 September. - Kementerian Pendidikan melalui Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik (JPP) hari ini mengadakan Simposium Bahasa Melayu Tahun 2026 di Dewan Persidangan Antarabangsa BRIDEX.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Simposium pada tahun ini yang bertemakan 'Memperkasa Pendidik dan Pelajar dalam Gelombang Transformasi Digital dan AI' disertai oleh seramai 450 guru Bahasa Melayu dari sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta senegara.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pengurusan Pendidik, Dr. Dayang Roslena binti Pehin Datu Indera Sugara Dato Seri Laila Jasa Haji Johari, selaku Ketua BDLTA.
Sejurus itu disusuli dengan ucaptama bertajuk 'Paradigma Baharu Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Transformasi Digital dan Kecerdasan Buatan : Pemikiran, Literasi dan Kreativiti' yang disampaikan oleh Dr. Mohammad Shahrin bin Haji Metussin dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Belait.
Ucaptama berkenaan membincangkan gelombang transformasi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) serta kepentingan pemerkasa pendidik dan pelajar dalam konteks pendidikan di Negara Brunei Darussalam.
Perkongsian berkenaan diharap dapat memberikan perspektif yang lebih luas mengenai perubahan dalam pendidikan Bahasa Melayu serta peranan pendidik dan pelajar dalam mendepani perkembangan teknologi.
Pengisian simposium kemudian diteruskan dengan sesi Learning Circle bersama penyampai ucaptama yang memberikan ruang kepada para peserta untuk menghubungkan idea-idea utama daripada ucaptama dengan pengalaman sebenar guru di bilik darjah.
Sesi berkenaan turut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi amalan terbaik, membincangkan cabaran semasa serta meneroka peluang penggunaan teknologi digital dan AI dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Sesi pagi diakhiri dengan bengkel bertajuk 'Ke Masa Silam Bersama STEAM DB' yang dikendalikan oleh Penolong Profesor di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Aliamat bin Omar Ali.
Bengkel berkenaan memberikan fokus kepada elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dalam pengajaran Bahasa Melayu, termasuk melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek.
Pada sebelah petangnya pula, simposium diteruskan dengan Bengkel kedua bertajuk 'Amalan Bilik Darjah Digital : Integrasi Visual dalam Pengajaran BM melalui AI Generatif Berpandukan PILCO' yang dikendalikan oleh Pegawai Pendidikan di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong, Awang Haji Muhammad Zaim Ridhwan bin Haji Ahad.
Bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada penggunaan AI generatif secara praktikal dalam pengajaran Bahasa Melayu, khususnya melalui penghasilan bahan visual yang dapat membantu menjadikan pembelajaran lebih menarik, interaktif dan bermakna.
Simposium diteruskan lagi dengan sesi Spotlight Bersama Pemudah Cara Bengkel yang dikendalikan oleh Dr. Ernie Zahdina @Nur Syifa' Damia binti Haji Md. Serudin. Sesi berkenaan mengetengahkan perkongsian dan refleksi bersama pemudah cara bengkel, di samping memberi ruang kepada peserta untuk mengongsikan idea, pengalaman dan pendekatan yang boleh disesuaikan dalam amalan pengajaran masing-masing.
Melalui gabungan sesi ucaptama, sesi Learning Circle, bengkel dan sesi Spotlight, para peserta berpeluang untuk memperluas pengetahuan, meneroka pendekatan baharu serta memperoleh idea yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelajar dan konteks bilik darjah masing-masing.
Simposium Bahasa Melayu 2026 merupakan antara inisiatif Kementerian Pendidikan dalam memastikan pendidik Bahasa Melayu terus bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan.
Semasa simposium berkenaan, para peserta juga berpeluang memperluas pengetahuan, mencuba pendekatan baharu serta memperoleh idea yang boleh disesuaikan dengan keperluan pelajar dan konteks bilik darjah masing-masing.
Melalui penggabungan kepakaran tempatan, pedagogi yang berimpak serta pemanfaatan teknologi secara kreatif dan beretika, simposium berkenaan diharap dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang terus relevan dalam era transformasi digital.
Turut hadir pada simposium berkenaan, Naib Canselor UBD, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.