Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BERAKAS, Sabtu, 29 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Peringkat Akhir Pertandingan Membaca Jawi Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Tahun 2026 bertempat di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta ialah Pengarah Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Awang Sofian Erwan bin Mohamad.
Pertandingan ini dibukakan kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan, dengan penyertaan seramai tujuh orang bagi setiap kategori.
Juara pertandingan bagi Kategori Lelaki disandang oleh Mohammad Abdul Raziq bin Haji Mohammad Saiful Rizal dari Sekolah Rendah Kesuma Mekar, manakala naib juara dimenangi oleh Muhammad Syafi Al-Muqtadir bin Haji Anifa Nazree dari Sekolah Rendah Tungku Gadong dan Muhammad Areez Shaheem bin Adi Satria raih tempat ketiga.
Bagi Kategori Perempuan pula, juara disandang oleh Nur Syifa Hasanah binti Mohammad Fikri dari Sekolah Al-Faalah, Sungai Akar, manakala naib juara ialah Dayang Nur ‘Izzah As-Shafwah binti Haji Awang Mohamad Zul’Izzi dan tempat ketiga dimenangi oleh Nur Izz Zarra Qaisarah binti Muriadi dari Sekolah Rendah Putat.
Pertandingan ini bertujuan untuk membudayakan bacaan Jawi dalam kalangan murid-murid sekolah rendah agar mereka dapat membaca bahan bacaan yang menggunakan ejaan Jawi dengan lancar, di samping menjadikan bahan bacaan Jawi sebagai salah satu pilihan bahan bacaan dalam kalangan murid sejak kecil.
Selain itu, pertandingan ini turut bertujuan untuk membina keyakinan diri murid-murid untuk membaca di hadapan khalayak serta meningkatkan keupayaan mereka dalam membaca bahan bacaan Jawi dengan baik.