Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara
REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 28 Ogos. - Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini telah menghadiri Chief Legal Advisors Forum (CLAF) 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 27 Ogos 2026 di Shangri-La Singapore.
Dengan bertemakan 'States and Investment Disputes - What Lies Ahead', CLAF 2026 telah menghimpunkan Ketua Penasihat Undang-undang dan pegawai kanan undang-undang kerajaan daripada 39 bidang kuasa bagi bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa dalam pertikaian antara pelabur dan negara (Investor-State Dispute Settlement - ISDS) serta usaha antarabangsa yang sedang dilaksanakan untuk mereformasikan sistem ISDS.
Perbincangan di CLAF 2026 berkenaan tertumpu kepada persoalan keadilan, konsistensi dan legitimasi dalam timbang tara antara pelabur dengan negara, pengalaman negara-negara dan perkembangan pendekatan mereka terhadap ISDS, serta pendekatan dan peluang baharu yang timbul daripada cadangan Multilateral Investment Tribunal (MIT) yang sedang dipertimbangkan dalam Kumpulan Kerja III UNCITRAL.
Yang Berhormat Peguam Negara telah menyertai perbincangan meja bulat bersama ketua-ketua delegasi, bertukar-tukar pandangan dengan ketua-ketua delegasi mengenai cabaran semasa dalam proses penyelesaian pertikaian ISDS, usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan, ciri-ciri sebuah MIT yang berkesan, kepentingan proses penyelesaian pertikaian yang inklusif, serta penyertaan secara meluas dalam proses pembaharuan.
Penyertaan NBD dalam CLAF 2026 berkenaan telah memberi peluang untuk mengikuti perkembangan dalam penyelesaian pertikaian pelaburan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan negara-negara peserta yang lain.
Turut menghadiri CLAF 2026 bersama Yang Berhormat Peguam Negara ialah pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Peguam Negara, NBD.
CLAF 2026 yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Undang-undang Republik Singapura dan Jabatan Peguam Negara Republik Singapura merupakan kesinambungan daripada Chief Legal Advisors Forum yang telah julung kali diadakan di Republik Singapura pada 2024.
CLAF 2024 sebelum ini menghimpunkan Peguam Negara dan penasihat undang-undang kanan kerajaan daripada lebih 20 bidang kuasa bagi membincangkan perkembangan dan cabaran dalam penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan negara ISDS.