Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) petang tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan Kali Ke-56 Tahun bagi Tahun 2026, bertempat di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan, di sini.
Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, Awang Faizal bin Janif @ Rosli.
Hadir pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara mewakili daerah-daerah, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari keempat-empat daerah.
Penamaan Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan bermula pada 4 Oktober 1970.
Oleh itu, setiap 4 Oktober setiap tahun akan diadakan acara sambutan berkenaan sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam.