Memastikan penyusuan susu ibu diberikan secara eksklusif

30 Og 2026 - 7:29am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Hospital RIPAS) mengadakan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) 2026, bertempat di Lobi Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital RIPAS.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Hospital RIPAS, Awang Md. Aizam bin Abdul Hamid.

Tema Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini adalah 'Penyusuan Susu Ibu Demi Permulaan Kehidupan Yang Mampan : Memperkukuh Amalan Yang Berkesan'.

Objektif Minggu PSI yang diraikan setiap tahun adalah bagi mencapai matlamat dan hasrat Kementerian Kesihatan dalam memastikan setiap ibu yang melahirkan anak memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dan meneruskan sehingga anak berusia dua tahun.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Jururawat, Unit Pediatrik, Hospital RIPAS, Awang Abdul Hafiz bin Roslee, dan seterunya ucapan alu-aluan daripada Konsultan Jabatan Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital RIPAS, Pengiran Dr. Nuoorul Shahidah binti Pengiran Haji Zainal.

Majlis diikuti dengan tayangan video slideshow mengenai PSI dan juga penyampaian breastfeeding cover sebanyak 100 helai tajaan daripada Persatuan Wanita (WI) dan doktor-doktor Ginekologi kepada incaj Wad 31, Wad 33, Wad 34/35 dan Wad Bersalin.

Antara aktiviti yang diadakan pada hari berkenaan adalah penyampaian hadiah bagi pemenang Pertandingan Menghias Wad, pameran serta kuiz sempena Sambutan Minggu PSI 2026.

Turut hadir pada majlis berkenaan, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Hospital RIPAS.