Melahirkan pemandu pelancong berkemahiran, memperkasa ekopelancongan negara

10 Sep 2026 - 8:30am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Rabu, 9 September. - Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) telah mencapai satu lagi pencapaian penting dalam usaha meningkatkan profesionalisme tenaga kerja sektor pelancongan melalui Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Pemandu Pelancong Khusus Alam Semula Jadi dan Hidupan Liar, yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan.

Seramai 11 peserta telah diiktiraf secara rasmi setelah berjaya menamatkan penilaian teori dan praktikal.

Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Kursus berkenaan telah berlangsung dari 27 Julai hingga 5 Ogos 2026 dan merupakan latihan khusus pertama seumpamanya bagi pemandu pelancong alam semula jadi dan hidupan liar yang dilaksanakan di negara ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama strategik Laksamana College of Business (LCB) selaku institusi latihan yang dilantik.

Direka untuk meningkatkan piawaian industri, kursus berkenaan membekalkan para pemandu pelancong dengan kepakaran, kemahiran lapangan serta keyakinan yang diperlukan untuk mentafsir dan mengetengahkan kekayaan warisan alam semula jadi Negara Brunei Darussalam.

Melalui gabungan pembelajaran di dalam bilik darjah dan pengalaman praktikal di lapangan, para peserta berpeluang memperoleh pengetahuan mendalam mengenai ekosistem tempatan, pengenalpastian hidupan liar, tingkah laku haiwan serta amalan pemuliharaan yang bertanggungjawab.

Pensijilan khusus tersebut juga memastikan para pemandu pelancong tempatan mempunyai persediaan yang mencukupi untuk menawarkan pengalaman ekopelancongan yang menarik, selamat dan bermakna kepada para pengunjung, di samping memainkan peranan aktif dalam menggalakkan penghargaan serta perlindungan biodiversiti negara secara mampan.

Berikutan kejayaan pengambilan pertama tersebut, pengambilan seterusnya bagi Kursus Asas Pemandu Pelancong Khusus Alam Semula Jadi dan Hidupan Liar dijadualkan berlangsung pada Januari / Februari 2027 di LCB.

Orang ramai dan mereka yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan boleh menghubungi Jabatan Kemajuan Pelancongan di talian +673 2382822 untuk mendapatkan maklumat lanjut.