Berita dan Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching
SUNGAI HANCHING, Jumaat, 18 September. - Para jemaah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching menzahirkan rasa kesyukuran selepas tamat pembacaan 30 juzuk Al-Quran dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga Penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching hadir dan menyertai majlis yang berlangsung di masjid berkenaan, awal hari ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat yang juga membaca Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimeriahkan dengan Dikir Marhaban oleh AJK takmir masjid, peserta khatam dan para jemaah.
Majlis berkenaan juga merupakan satu program AJK Takmir Masjid sebagai wadah bagi meningkatkan kecintaan kepada Al-Quran serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan AJK Masjid, jemaah dan penduduk di situ.
Majlis Khatam Al-Quran diharap akan membantu memperkukuhkan iman dan ketakwaan, serta memberikan kenikmatan dalam menjalani kehidupan seharian.
Ia juga sebagai usaha untuk meningkatkan hubungan individu dengan Allah Subhanahu Wata’ala di samping meningkatkan keimanan dan ketakwaan.