Mangsa kebakaran rumah terima sumbangan derma

11 Sep 2026 - 6:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Kampung Panchor, Tutong

TUTONG, Khamis, 10 September. – Sebagai tindak balas awal dan keprihatinan bagi membantu sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah pada malam Rabu, 9 September 2026, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor, orang ramai dan penduduk kampung telah mengadakan kutipan derma kilat dan sumbangan berbentuk keperluan asas dan pakaian.

Hasil kutipan wang tunai dan sumbangan yang diterima sejak malam kebakaran telah diserahkan kepada ketua keluarga, Awang Harun bin Ibrahim oleh Ketua Kampung Panchor, Awang Muhammad Adib bin Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman.

Mangsa kebakaran terdiri daripada enam orang dewasa dan tujuh kanak-kanak yang berusia antara dua hingga 10 tahun. Sumbangan yang berjaya dikumpulkan sejak malam kejadian berkenaan terdiri daripada wang tunai dan barangan keperluan asas, termasuk makanan kering serta pakaian.

Musibah berkenaan turut menerima perhatian dari Jabatan Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) yang turut memberikan sumbangan pakaian.

Hadir menyerahkan bantuan berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Diharapkan sumbangan yang disalurkan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa dalam menghadapi musibah berkenaan, di samping membantu memenuhi keperluan harian mereka.

Bagi pihak Ketua Kampung Panchor, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada orang ramai serta semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada keluarga mangsa.

Orang ramai yang berhasrat untuk terus menghulurkan sumbangan adalah dialu-alukan dan bolehlah menyalurkannya melalui Ketua Kampung Panchor di talian +673 8115156.