Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Brunei Breast Cancer Support Group
GADONG, Ahad, 20 September. - Dengan hasrat murni bagi sama-sama memperkukuh ukhuwah antara kedua-dua persatuan sambil bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman dalam menangani isu-isu kanser, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Brunei Breast Cancer Support Group - BBCSG) telah menghoskan Majlis Makan Tengah Hari bersama rombongan Persatuan Kanser KanWork bertempat di Restoran Aminah Arif, Jalan Batu Bersurat, Gadong, hari ini.
Majlis berkenaan diadakan bersempena lawatan yang disertai oleh 13 ahli rombongan Persatuan Kanser KanWork terdiri daripada golongan ‘survivor, caregiver’ dan sukarelawan di Negara Brunei Darussalam (NBD) selama empat hari bermula dari 18 September lalu.
Antara yang hadir bagi mengalu-alukan para rombongan yang diketuai oleh Presiden Persatuan Kanser KanWork, Yang Berbahagia Profesor Dr. Maznah binti Mohamad ialah Presiden BBCSG, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin; Timbalan Presiden BBCSG, Dayang Hajah Linda Aini binti Abdullah; Bendahari BBCSG, Profesor Madya Puan Dr. Hajah Masrinawati binti Haji Abdul Hamid; dan Timbalan Bendahari BBCSG, Dayang Hajah Jainah binti Haji Musa serta ahli-ahli persatuan.
Sehubungan itu, Dayang Hajah Aminah dalam ucapan alu-aluan antaranya merakamkan kesyukuran dengan adanya detik perjumpaan antara ahli-ahli kedua-dua persatuan selaras dalam usaha menanai tujuan penubuhan kedua-dua persatuan yang sama.
Jelas beliau, tujuan penubuhan BBCSG adalah sama juga seperti penubuhan Persatuan Kanser KanWork Malaysia antaranya bagi memberi sokongan kepada mereka yang terkesan dengan kanser tetapi kita kanser payudara; menyampaikan maklumat dan memberi pendidikan mengenai kanser; mewujudkan kesedaran terhadap kanser untuk pengesanan awal; memberi pendedahan cara bagaimana menangani pesakit kanser payudara kepada keluarga mereka dan juga untuk menggalakkan cara hidup sihat bagi mengurangkan risiko kanser.
“Alhamdulillah, Persatuan Kanser KanWork cukup bertuah kerana mempunyai ahli seramai 500 orang iaitu 90 peratus wanita, 70 peratus ‘survivor’, 20 peratus ‘caregiver’ dan 10 peratus sukarelawan. Namun di NBD, kita hanya memiliki ahli yang tidak mencapai 30 orang. Walau bagaimanapun usaha berterusan dalam mencapai matlamat persatuan kita masing-masing sentiasa terus diperjuangkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dayang Hajah Aminah turut mengongsikan sepanjang penubuhan BBCSG pada 16 Jun 2004, antara kegiatan yang dilaksanakan adalah memeduli anak-anak yatim yang terdiri daripada bapa mereka yang telah kembali menemui Ilahi akibat kanser; ibu-ibu tunggal; melawat pesakit kanser sama ada di rumah mereka atau di hospital untuk memberi sokongan dan semangat; memberi bantuan dari segi pembelian baju dalam khas dan anggota-anggota palsu (prostheses) dan begitu juga bantuan berupa kewangan apabila pesakit kanser menjalani rawatan di luar negeri dan tidak terkecuali juga bantuan kewangan kepada ahli-ahli keluarga yang ditinggalkan oleh para pesakit kanser yang telah kembali ke rahmatullah.
Selain itu, BBCSG turut mengadakan majlis khatam Al-Quran dan bertahlil khusus kepada insan-insan yang telah pergi lebih dahulu di samping persatuan berkenaan juga menerbitkan Buku Yasin, Al-Quran Terapi Kanser iaitu sebanyak 18 ribu tercetak sejak 2018 dan Buku Yasin Fadhilat dengan lebih 3,000 cetakan.
Dayang Hajah Aminah turut berkongsi bahawa BBCSG juga mengadakan program-program seperti seminar, forum dan ceramah serta sering diundang oleh institusi-institusi pendidikan tinggi, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta untuk menyampaikan ceramah sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut dalam bulan Oktober pada setiap tahun.
Beliau turut mengimbas kenangan manis apabila pada tahun 2019 BBCSG berjaya melibatkan lebih daripada 500 orang Muslimah masjid di keempat-empat buah daerah di NBD untuk menghadiri Forum Bulan Kesedaran Kanser Payudara di Masjid Universiti Brunei Darussalam dengan tujuan untuk membarigakan secara meluas kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara kepada masyarakat di negara ini khususnya kaum wanita dalam pelbagai peringkat.
Sepanjang sesi lawatan rombongan Persatuan Kanser KanWork di NBD, mereka berpeluang mengadakan lawatan ke bangunan Bangunan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan juga tempat-tempat menarik di negara ini.