Majlis Maulid Akbar perkukuh kecintaan kepada Rasulullah

4 Sep 2026 - 7:55am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Majlis Maulid Akbar bersempena sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) malam tadi menjadi wadah bagi umat Islam memperkukuhkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menghayati sirah, ajaran dan perjuangan Baginda.

Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu;  Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Isteri, Datin Dayang Fadzlin binti Haji Hashim; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan merangkap Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan qasidah oleh Munsyid Kyrel Al-Gayauwi dan Ahmad Muaiyyad Az-Zubair bin Haji Umar Abdul Hakim bersama Kumpulan Ad-Dhiyaul Lami’ As-Syarif dan Jabatan Penjara.

Majlis diserikan dengan penyampaian tazkirah oleh Pensyarah Adjung, Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Dr. Ustaz Abdul Somad yang membawa tajuk 'Membina Generasi Ummah yang Beriman, Berilmu, Beramal dan Beradab Mulia'.

Dalam tazkirahnya, beliau menekankan pentingnya umat Islam memperkukuhkan kecintaan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping membina generasi yang berlandaskan iman, ilmu, amal dan akhlak yang mulia.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya mempelajari sejarah dengan baik, khususnya sejarah perjuangan dan perkembangan umat Islam pada zaman terdahulu, agar setiap peristiwa dapat difahami berdasarkan konteks dan keadaan pada zamannya.

Antara yang turut dikongsikan ialah sejarah sambutan Maulidur Rasul serta catatan Imam al-Jazari mengenai kemeriahan umat Islam berkumpul di sekitar tempat kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Kota Mekah pada malam Maulid.

Profesor Dr. Ustaz Abdul Somad juga menyentuh mengenai amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang berlandaskan Al-Quran dan hadis, serta kepelbagaian bentuk selawat yang diamalkan oleh para ulama.

Beliau seterusnya menyeru umat Islam agar terus menghidupkan amalan-amalan yang dapat meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dengan harapan memperoleh syafaat Baginda serta membentuk generasi ummah yang kukuh dari segi iman, ilmu, amal dan adab.

Acara diakhiri dengan sesi soal jawab bersama Profesor Dr. Ustaz Abdul Somad, yang memberi peluang kepada para hadirin untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara-perkara yang dikongsikan dalam tazkirah berkenaan.