Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali sempena Penubuhan Masjid Bengkurong

14 Nov 2026 - 7:51am

Berita dan Foto : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

BENGKURONG, Jumaat, 13 November. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bengkurong telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali Khatam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 masjid berkenaan, sebagai salah satu pengisian acara keagamaan bagi memperingati ulang tahun penubuhannya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Bengkurong itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat.

Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Imam Masjid Bengkurong, Awang Md. Zahid Zakwan bin Md. Said, diikuti dengan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh Awang Haji Md. Nasrul, manakala bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Tahlil dipimpin oleh Awang Md. Hatim Fakhrullah serta Dikir Marhaban.

Majlis turut diserikan dengan pengagihan bunga telur kepada para peserta, diikuti penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Allah Peliharakan Sultan dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Bengkurong.

Penganjuran majlis tersebut merupakan antara pengisian keagamaan sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Masjid Kampung Bengkurong Ke-40, di samping menyemarakkan amalan membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam.