Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. – Bersempena dengan Sambutan Hari Pos Sedunia (World Post Day), PosBru Sdn. Bhd. (PosBru) telah menganjurkan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah pada petang ini bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Berakas, di sini.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, selaku Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PosBru.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop; dan Ketua Eksekutif Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Awang Haji Jailani bin Haji Buntar.
Hadir sama bagi memperingati majlis berkenaan ialah pihak pengurusan dan kakitangan PosBru.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil khusus untuk pegawai-pegawai dan kakitangan PosBru dan warganya yang telah kembali ke rahmatullah, diikuti dengan Doa Kesyukuran.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyerahan sumbangan sebanyak 30 naskhah buku Yaa Siin yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PosBru, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim kepada Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang selaku wakil bagi Surau LTAB, Berakas.
Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.
Menurut kenyataan, Hari Pos Sedunia diraikan pada setiap 9 Oktober oleh para penyedia perkhidmatan pos dari negara-negara anggota Kesatuan Pos Sedunia atau Universal Postal Union (UPU) di seluruh dunia bagi memperingati kepentingan perkhidmatan-perkhidmatan pos.
Tema bagi Hari Pos Sedunia pada tahun ini ialah 'One Postal Network, Infinite Possibilities'.