Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan pada petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara, di sini.
Hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal; Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad dan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Haji Ahmad.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Atur cara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan dianugerahkan kesihatan, kekuatan serta perlindungan yang berterusan dalam memimpin negara ke arah kesejahteraan dan keberkatan yang berpanjangan, yang diimamkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang, yang turut mengimamkan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.
Acara seterusnya diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas oleh Imam Tingkat III, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Haji Hamdini bin Haji Garif.
Manakala, Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran.
Majlis juga dihadiri oleh pegawai-pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar daripada sekolah-sekolah, maktab-maktab, institusi-institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Majlis Doa Kesyukuran merupakan sebahagian daripada acara keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Tema bagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 pada tahun ini ialah 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'.