Majlis Dikir, Doa Selamat semarakkan Sambutan Maulidur Rasul

30 Og 2026 - 7:37am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Sabtu, 29 Ogos. - Ahli-ahli Majlis Perniagaan Wanita Brunei Darussalam (Women Business Council - WBC) telah mengadakan Majlis Dikir dan Doa Selamat sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, pagi tadi.

Majlis tersebut merupakan antara usaha untuk menyemarakkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menghayati akhlak mulia, sunnah serta ajaran Baginda dalam kehidupan seharian.

Selain itu, majlis berkenaan turut menjadi wadah dalam membentuk dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, khususnya warga usahawan, berlandaskan sifat amanah, kejujuran dan tanggungjawab.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam masjid, Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Naib Yang Dipertua WBC, Dayang Hajah Mordiah binti Haji Jackia.

Antara pengisian utama majlis ialah Ceramah Khas Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam yang disampaikan oleh Ketua Program Pra-Siswazah dan Penyelaras At-Tamayyuz, Dr. Dayang Nor Surilawana binti Haji Sulaiman.

Ceramah bertajuk 'Meneladani Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Usaha Wanita Berakhlak, Perniagaan Berkat' membicarakan mengenai kepentingan menjadikan Rasulullah sebagai contoh dan teladan dalam membentuk peribadi usahawan yang berakhlak, amanah serta jujur.

Ceramah turut menekankan pengamalan nilai-nilai Islam dalam menjalankan perniagaan agar kegiatan keusahawanan bukan sahaja membawa manfaat dari segi ekonomi, malah mendapat keberkatan. Majlis turut diserikan dengan Dikir Maulidur Rasul yang dipimpin oleh kumpulan pendikir Muslimah Kegiatan Warga Emas.

Sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan yang memerlukan, majlis turut menyaksikan penyampaian infak kepada 20 orang anak yatim dan anak-anak asnaf yang disampaikan oleh Ahli-ahli WBC.

Dalam pada itu, sumbangan khas daripada Projek Amal Impian Cahaya Iman juga telah disampaikan oleh Dayang Faridah binti Haji Mohd. Taufik dan Dayang Fatimah binti Haji Jamil, serta Projek Amal WBC yang disampaikan oleh Pengiran Hajah Rokiah, turut diberikan kepada sebuah keluarga yang memerlukan.

Sumbangan berkenaan dihasratkan dapat membantu meringankan beban serta memenuhi keperluan keluarga berkenaan. Inisiatif tersebut mencerminkan semangat kebersamaan, ukhuwah dan keprihatinan Ahli-ahli WBC dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya membantu golongan yang memerlukan.