Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bermula 29 hingga 31 Ogos 2026 bagi Lawatan Kerja atas jemputan Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon.
Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo disertai bersama delegasi dari Mahkamah Besar Republik Filipina dan Philippine Judicial Academy (PHILJA). Lawatan ini merupakan Lawatan Rasmi pertama Yang Amat Arif ke NBD dan mencerminkan pengukuhan berterusan kerjasama serta hubungan antara Badan Kehakiman NBD dan Republik Filipina.
Acara kemuncak lawatan ialah penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unit Pendidikan dan Latihan Kehakiman (JET) Mahkamah Besar NBD dan PHILJA pada 30 Ogos 2026. MoU tersebut menetapkan rangka kerja kerjasama dalam bidang pendidikan kehakiman, pertukaran profesional, pembangunan keupayaan, perkongsian sumber pendidikan serta pembangunan inisiatif secara bersama.
Pada 31 Ogos 2026, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo telah mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan dua hala dengan Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon. Perbincangan tertumpu kepada kemajuan yang telah dicapai sejak pertemuan mereka di Manila, Filipina pada Februari 2026, khususnya dalam memformalkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan kehakiman.
Kedua-dua Ketua Hakim membincangkan Cadangan Kerja bagi Pelaksanaan MoU, yang menggariskan bidang-bidang praktikal untuk kerjasama dan menyediakan asas bagi pembangunan aktiviti dua hala yang khusus.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MoU, telah dipersetujui bahawa pegawai penyelaras masing-masing dijangka mengenal pasti bidang keutamaan dan mengadakan sesi meja bulat dua hala atau pertukaran pengetahuan pada peringkat awal.
Melangkah ke hadapan, kedua-dua Badan Kehakiman turut membincangkan kemungkinan untuk meluaskan kerjasama mereka melangkaui pendidikan dan latihan kehakiman kepada perkongsian institusi yang lebih menyeluruh. Sehubungan itu, Mahkamah Besar NBD telah mencadangkan agar usaha digerakkan ke arah pembangunan MoU antara Mahkamah Besar NBD dan Mahkamah Besar Republik Filipina.
Selepas kunjungan hormat tersebut, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo dan delegasi telah mengadakan lawatan ke Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Lawatan Kerja ini menggariskan komitmen kedua-dua Badan Kehakiman untuk membangunkan kerjasama yang bermakna dan substantif melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik.
Hubungan ini juga membina atas kemajuan yang dicapai sejak pertemuan kedua-dua Ketua Hakim di Manila pada awal tahun ini, bermula daripada penerokaan awal kerjasama, kepada penandatanganan MoU JET–PHILJA, dan kini menuju ke arah pelaksanaan secara praktikal serta pembangunan perkongsian institusi yang lebih luas.
Mahkamah Besar NBD menantikan kesinambungan hubungan dengan Badan Kehakiman Filipina serta pembangunan kerjasama jangka panjang yang memperkukuh hubungan profesional antara para hakim, pegawai kehakiman dan kakitangan mahkamah kedua-dua negara.