Latihan jejak warisan perkasa pengetahuan pemandu pelancong

15 Sep 2026 - 6:38am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 September. - Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri telah menganjurkan dua sesi latihan yang melibatkan seramai 22 orang pemandu pelancong berdaftar dan berlesen di bawah jabatan ini.

Latihan tersebut telah diadakan pada 27 dan 29 Ogos 2026 di beberapa lokasi bersejarah dan mercu tanda utama di kawasan Bandar Seri Begawan.

Sesi latihan ini adalah berlandaskan kandungan Buku Panduan Laluan Jejak Warisan Bandar Seri Begawan, yang mengetengahkan perkembangan dan transformasi Negara Brunei Darussalam dari dahulu hingga kini, di samping memelihara nilai dan keunikan warisan budaya negara seperti Kampong Ayer yang telah berusia lebih daripada 600 tahun.

Antara mercu tanda utama yang turut diketengahkan ialah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, yang mencerminkan keindahan seni bina Islam moden serta menjadi salah satu simbol penting identiti Islam di Negara Brunei Darussalam.

Pendedahan seperti ini adalah penting bagi memastikan para pemandu pelancong mempunyai pengetahuan yang kukuh untuk dikongsikan kepada para pengunjung, khususnya dalam menghadapi peningkatan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.

Latihan ini bertujuan untuk memperkaya pengetahuan para pemandu pelancong mengenai sejarah, budaya serta fakta-fakta menarik berkaitan lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Bandar Seri Begawan.

Melalui proses perkongsian dan pemindahan pengetahuan, para pemandu pelancong bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman mereka, tetapi juga dapat mempelajari cara menyampaikan maklumat tersebut secara lebih tersusun, menarik dan berkesan kepada para pelancong.

Penguasaan pengetahuan yang lebih baik akan membantu meningkatkan keyakinan dan prestasi pemandu pelancong dalam memberikan penerangan yang berkualiti.

Menurut salah seorang peserta iaitu Awang Mohammed Ali Asmae bin Haji Mohammed Nasir, latihan tersebut telah memberikan perkongsian dan maklumat yang bermanfaat.

Latihan berkenaan jelasnya sangat berguna kerana dapat mengukuhkan pengetahuan asas mengenai tempat-tempat dan warisan di Bandar Seri Begawan.

"Maklumat yang sebelum ini kami ketahui juga dapat disahkan dan difahami dengan lebih jelas. Selain itu, dengan adanya latihan ini, ia juga dapat membantu kami sebagai pemandu pelancong dalam menjawab persoalan daripada pelancong dengan lebih yakin dan tepat. Contohnya, mengenai dengan sejarah di sebalik nama tempat seperti Jalan Pretty, Jalan Roberts dan Jalan Cator.

"Secara keseluruhannya, latihan ini banyak membantu meningkatkan keyakinan dan prestasi kami sebagai pemandu pelancong, di samping membolehkan kami berkongsi maklumat dengan lebih menarik. Saya amat menghargai usaha dan perkongsian ilmu yang telah diberikan sepanjang latihan ini," katanya selepas mengikuti sesi latihan tersebut.

Jabatan Kemajuan Pelancongan akan terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme para pemandu pelancong sebagai salah satu persediaan bagi Tahun Melawat Brunei 2027.

Peningkatan keupayaan dalam pemindahan dan penyampaian pengetahuan sejarah serta budaya akan membolehkan para pemandu pelancong menyampaikan maklumat yang tepat, menarik dan konsisten kepada para pelancong.

Usaha ini diharap dapat meningkatkan prestasi pemandu pelancong serta menyumbang kepada pengalaman pelancong yang lebih berkualiti, bermakna dan mencerminkan identiti serta warisan Negara Brunei Darussalam.