Komited membangun bakat tempatan dalam keselamatan siber

16 Sep 2026 - 7:46am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

GADONG, Selasa, 15 September. - Bakat-bakat dalam bidang keselamatan siber dari Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rantau ASEAN berkumpul di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, bagi menyertai Pertandingan  Cyber Battle : Capture the Flag (CTF) 2026, iaitu pertandingan keselamatan siber tahunan yang dianjurkan oleh  IT Protective Security Services Sdn. Bhd. (ITPSS).

Pertandingan pada tahun ini mengetengahkan Kecerdasan Buatan (AI)  sebagai fokus utama cabaran, mencerminkan peranan AI yang semakin penting dalam membentuk landskap keselamatan siber.

Para peserta dikehendaki menyelesaikan pelbagai cabaran yang meneroka hubungan antara AI dan keselamatan siber, sekali gus menguji pengetahuan teknikal, keupayaan berfikir secara analitikal serta kebolehan mereka untuk menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi yang sedang berkembang.

Pertandingan berkenaan diakhiri dengan Majlis Penyampaian Hadiah yang dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap MTIC, Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), serta Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Awang Azman Iskandar bin Ariffin.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan kepentingan membangunkan bakat tempatan dalam bidang keselamatan siber serta komitmen berterusan ITPSS dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber di NBD.

Beliau juga menjelaskan mengenai peningkatan permintaan terhadap tenaga profesional yang berkemahiran dalam bidang keselamatan siber di NBD, serta keperluan untuk memperkukuh saluran pembangunan bakat tempatan bagi menangani jurang kemahiran yang sedia ada.

Awang Azman Iskandar seterusnya menegaskan komitmen berterusan ITPSS dalam menyokong usaha CSB bagi memperkukuh kemahiran serta inisiatif pembangunan dan pertumbuhan bidang keselamatan siber melalui peluang pembelajaran secara praktikal dan amali, program kesedaran serta pembangunan profesional.

Pertandingan seperti Cyber Battle: Capture The Flag katanya lagi, turut memberi peluang yang amat bernilai kepada para peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan keselamatan siber mereka dalam menghadapi cabaran dunia sebenar, di samping memperkembangkan kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada ekosistem keselamatan siber di NBD.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah oleh tetamu kehormat majlis kepada pasukan-pasukan yang mencatatkan prestasi terbaik sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka dalam pertandingan berkenaan.

Pasukan admin:admin dari NBD muncul sebagai juara dengan mengumpul 3,025 mata dan menerima hadiah wang tunai sebanyak  BND3,500.

Manakala naib juara diraih oleh pasukan Vibe Check, juga dari NBD dengan  mengumpul 2,900 mata dan menerima hadiah sebanyak BND2,500, sementara tempat ketiga dimenangi oleh pasukan The Hash Slinging Slasher dari Republik Indonesia, dengan mengumpul 2,900 mata  dan menerima hadiah wang tunai sebanyak  BND1,500.