Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos, Ahad. - Kumpulan Meraih Berkah (KMB) dengan kerjasama dan pengendalian bersama Rumi Events menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran KMB sempena Maulidur Rasul 1448 Hijrah, di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.
Majlis tersebut merupakan Aktiviti Ke-4 di bawah Program Brunei Darussalam Berselawat (PBDB), bersempena menyambut Bulan Maulidur Rasul 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis berkenaan menjadi salah satu wadah untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah KMB yang datang dari pelbagai daerah dan latar belakang.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Antara pengisian utama majlis termasuk selawat dan Doa Memohon Syafaat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah, bacaan Khatam Al-Quran, bacaan Takhtim, bacaan Doa Khatam serta Zikir Asyragal.
Majlis turut diserikan dengan sesi ziarah jemaah khatam bersama tetamu kehormat dan pembahagian bunga telur.
Sebagai sebahagian daripada pengisian kebajikan dan kemasyarakatan, sampul Maulidur Rasul turut disampaikan kepada anak-anak yatim.
Dalam pada itu, KMB menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas kesudian hadir dan bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Penutup dan Doa Kafarah.
Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran itu diharap dapat terus menyuburkan kecintaan masyarakat terhadap Al-Quran, memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim, selain menyemarakkan semangat berselawat serta menghayati ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PBDB dalam menghimpunkan masyarakat menerusi pengisian keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan, selaras dengan semangat bersama-sama menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.