Khatam Al-Quran semarakkan Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14

27 Og 2026 - 6:21am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Kejayaan menghafaz sebanyak 30 Juzuk Al-Quran boleh para graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), merupakan kemuncak perjalanan pengajian mereka sepanjang sesi 2023 - 2026.

Pencapaian tersebut diraikan menerusi Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran yang berlangsung pagi tadi di Musolla, Kampus Kekal ITQSHHB, sekali gus menjadi salah satu acara iringan sempena Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14.

Hadir selaku tetamu kehormat di sini, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan ITQSHHB yang juga memulakan acara dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.

Setelah itu, majlis diikuti bacaan surah-surah lazim secara hafazan oleh para graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Nur Safwan bin Awang Asli.

Suasana majlis kemudiannya diserikan dengan bacaan Takhtim oleh siswa-siswa Tahun 1 Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, sebelum bacaan Doa Khatam dipimpin oleh salah seorang bakal graduan, Awang Muhammad Faiz Najwan bin Muhammad Salleh.

Majlis turut dimeriahkan dengan Dikir Marhaban sebelum tetamu kehormat menyampaikan sijil khatam hafaz kepada para graduan sebagai tanda pengiktirafan atas kejayaan mereka menamatkan hafazan 30 Juzuk Al-Quran.

Acara kemudian diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, diikuti Doa Selamat serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh salah seorang bakal graduan, Awang Ahmad Huzaifah bin Awang Haji Hasbi.

Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan, pengetua-pengetua sekolah Arab, timbalan-timbalan pengetua, pegawai dan pensyarah, jemputan khas, guru-guru serta ibu bapa para bakal graduan.

Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah meraikan kejayaan akademik para graduan, malah mencerminkan komitmen ITQSHHB dalam melahirkan generasi yang mendalami ilmu Al-Quran, khususnya dalam bidang hafazan dan qiraat.

Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran bagi graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi Pengajian 2023 - 2026 seterusnya menjadi detik bermakna sebelum para graduan melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan ilmu dan pengajian mereka.