Keselamatan, kesihatan pelajar diutamakan ketika sesi persekolahan bersua muka

9 Sep 2026 - 6:22am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Jabatan Pengajian Islam

BERIBI, Selasa, 8 September. - Keselamatan dan kesihatan para pelajar terus menjadi keutamaan pihak sekolah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersua muka kembali dilaksanakan dalam keadaan negara masih berdepan dengan jerebu.

Sesi persekolahan dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dan mengikut garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan khususnya berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah masing-masing.

Dalam memastikan kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersua muka, pihak sekolah turut mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi melindungi kesihatan para pelajar dan guru daripada kesan jerebu.

Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, Penolong Pengetua Sekolah Ugama Beribi Gadong, Awang Haji Mohd. Rudy bin Haji Samsudin menjelaskan bahawa pihak sekolah sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga bagi memastikan keadaan kesihatan dan kesesuaian pelajar untuk menghadiri sesi persekolahan sentiasa diberi perhatian.

Menurut beliau, komunikasi yang berterusan antara guru, ibu bapa dan pelajar amat penting, terutama dalam menentukan sama ada pembelajaran secara Home-Based Learning (HBL) perlu dilaksanakan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Beliau berkata, kebijaksanaan guru dalam menyediakan dan menyesuaikan kaedah pembelajaran juga penting bagi memastikan proses PdP dapat diteruskan dengan berkesan tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar.

Dalam pada itu, pihak sekolah turut memastikan kesiapsiagaan menerusi pelaksanaan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku perubahan keadaan yang memerlukan penyesuaian terhadap kaedah pembelajaran.

Antara langkah yang diberikan penekanan termasuk mematuhi SOP sekolah dan arahan pihak berkenaan, menggalakkan penggunaan pelitup muka, memastikan pelajar mengambil air secukupnya serta mengurangkan pergerakan dan aktiviti di luar bangunan ketika keadaan jerebu berada pada tahap yang kurang sihat.

Ibu bapa dan penjaga juga diseru agar sentiasa peka terhadap keadaan semasa serta memantau tahap kesihatan anak masing-masing sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Walaupun sesi persekolahan berjalan seperti biasa, pihak sekolah turut memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk memakai pakaian sukan berbanding uniform sekolah bagi memberikan keselesaan, khususnya dalam keadaan cuaca dan persekitaran yang berjerebu.

Sementara itu, Guru Ugama Tingkat II Sekolah Ugama Beribi Gadong, Dayang Hajah Roziah binti Haji Abdul Hamid berkata, beberapa persiapan telah dilaksanakan oleh guru-guru sebelum sesi persekolahan secara bersua muka kembali dijalankan bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, selesa dan kondusif.

Menurut beliau, antara persiapan yang diberi perhatian termasuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengamalkan kebersihan tangan serta menggunakan pelitup muka apabila diperlukan.

Guru-guru juga sentiasa mengambil perhatian terhadap keadaan kesihatan para pelajar serta bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga bagi memastikan aspek kesihatan dan pematuhan terhadap garis panduan serta SOP yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Selain persiapan dari segi fizikal dan bahan pengajaran, Dayang Hajah Roziah menekankan bahawa guru-guru juga perlu mempunyai kesiapsiagaan mental dan emosi dalam menghadapi sebarang perubahan keadaan.

Menurut beliau, kesiapsiagaan tersebut penting bagi membolehkan guru menyesuaikan kaedah pengajaran sekiranya keadaan jerebu menjejaskan aktiviti pembelajaran secara bersua muka.

Dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran terus berjalan lancar, guru-guru juga perlu menyediakan bahan pengajaran yang bersesuaian serta mengambil kira keadaan dan keupayaan para pelajar dalam mengikuti pembelajaran ketika musim jerebu.

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman melaksanakan HBL sebelum ini memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada guru-guru, khususnya dalam penggunaan teknologi serta pelbagai platform pembelajaran digital.

Antara platform yang digunakan termasuk Google Classroom, Google Meet, Microsoft Teams dan Zoom bagi membolehkan bahan pengajaran disampaikan kepada pelajar sekiranya pembelajaran perlu dilaksanakan dari rumah.

Pengalaman tersebut juga mendorong guru-guru menjadi lebih kreatif dalam menyediakan bahan pembelajaran yang menarik, mudah difahami dan bersesuaian dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, dengan kembalinya sesi persekolahan secara bersua muka, interaksi secara langsung antara guru dan pelajar tetap diberikan perhatian kerana ia membolehkan guru memantau keadaan, penglibatan dan perkembangan pelajar dengan lebih dekat.

Dalam keadaan negara masih dilanda jerebu, keseimbangan antara keperluan meneruskan sesi persekolahan secara bersua muka dengan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah amat penting.

Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar juga diperlukan bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dalam persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif, di samping sentiasa mematuhi garis panduan serta SOP yang ditetapkan berdasarkan keadaan IPU semasa.